Krisis Melaka – Kerajaan masih kekal
Penarikan sokongan empat ADUN terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dijangka tidak menjatuhkan kerajaan negeri sedia ada, kata penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed.
Beliau berkata, dalam situasi ketika ini sukar untuk berlakunya pertukaran kerajaan atau pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Walaupun kerajaan sedia ada dijangka kekal dan hanya bertukar kepimpinan, ia meninggalkan kesan besar kerana digerakkan oleh pemimpin UMNO.
“Situasi di Melaka agak rumit kerana melibatkan parti yang memerintah sendiri dan percaya akan ada perbincangan lanjut antara kepimpinan UMNO Pusat dan UMNO Melaka,” katanya.
Ahmad Martadha berkata, masih terlalu awal untuk menjangkakan apakah bentuk jajaran selepas ini kerana ia melibatkan wakil rakyat UMNO dan kerajaan juga adalah pimpinan UMNO.
Sementara itu, Penganalisis politik daripada Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr Kartini Aboo @ Khalid berkata, krisis politik di Melaka ketika ini mungkin dijadikan eksperimen kepada maksud kefahaman dan penerimaan memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan pembangkang.
“Ini adalah cabaran demokrasi dan rakyat perlu alah bisa tegal biasa seperti mana Jepun yang mengalami pertukaran Perdana Menteri dan ketua dalam masa yang singkat.
“Bagi saya, kerajaan negeri Melaka masih utuh, yang tumbang ialah Ketua Menteri. Jika empat ADUN ini menolak Datuk Seri Sulaiman Md Ali tetapi masih mahu pengganti dalam kalangan blok kerajaan, maka peluang PH masih belum pasti,” katanya.
sinar