Bomoh kena saman gagal patahkan sihir
Seorang lelaki mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang bomoh wanita yang mendakwa mampu mematahkan sihir bagi memporak-perandakan perkahwinannya.
Mauro Restrepo berkata bomoh tersebut, Sophia Adams, berjanji dapat menyelamatkan perkahwinannya jika sanggup membayar AS$5,100 (kira-kira RM21,300) untuk membatalkan sihir yang didakwa dihantar bekas kekasihnya.
Menurut dokumen Mahkamah Torrance, Amerika Syarikat, Adams dituduh memperdaya Restrepo dengan menyatakan bahawa keluarganya akan ‘menderita’ jika sihir itu tidak dibatalkan, lapor BBC.
Restrepo dalam saman tersebut mahu Adams membayar ganti rugi sebanyak AS$25,000 (kira-kira RM104,500).
Ketika perbicaraan, Restrepo memaklumkan bahawa dia mengenali Adams melalui pencarian di Google.
Laman web Adams menyebut bahawa wanita itu mempunyai kepakaran dan kuasa ghaib untuk memulihkan masalah dalam percintaan dan ini menyebabkan Restrepo percaya kepada kebolehannya, kata peguam yang mewakili plaintif.
Dalam satu sesi perjumpaan, Adams mendakwa Restrepo memperdayanya dengan mengatakan dia disihir oleh bekas kekasih dan jika tidak dipatahkan, hubungan perkahwinan serta anak-anaknya akan menderita.
Restrepo mendakwa ‘kepakaran’ Adams tidak membantu memulihkan hubungannya bersama bekas isterinya, malah sebaliknya menyebabkan tekanan terhadap dirinya.
Saman itu turut menamakan suami Adams, anak perempuannya serta tuan rumah kepada rumah sewanya.
awani