Lelaki ditemui lemas selepas hilang
Lelaki yang hilang ketika memukat ikan di Sungai Padas berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Tomani, di sini, Sabtu lalu, ditemukan lemas hari ini.
Mayat Zali Tun, 25, ditemukan orang awam jam 7.30 pagi kira-kira satu kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sebaik menerima maklumat awam, sepasukan anggota dan pegawai ke lokasi penemuan.
“Sebaik tiba, pasukan paramedik melakukan pemeriksaan terhadap mangsa dan mengesahkan dia sudah meninggal dunia.
“Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan pada jam 8.58 pagi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Dalam kejadian jam 1 tengah hari Sabtu lalu, mangsa dikhuatiri lemas selepas hilang akibat ditarik arus deras sungai.
Mangsa turun ke sungai untuk mengambil pukat sebelum disedari hilang.
Penduduk kampung yang menyedari kejadian menghubungi pihak berkuasa bagi mendapatkan bantuan.
metro