Disangka scammer rupanya panggilan kematian anak

Oleh – Syeikh Baran


Disangka scammer rupanya panggilan kematian anak
AHMAD Said Md Piah, 65, menunjukkan gambar Muhammad Shafiq ketika tamat menjalani latihan sebagai rekrut ketika ditemui di kediamannya di Taman Sri Mahkota Jaya di Kuantan hari ini.

“Masa dapat panggilan telefon bagi tahu anak saya meninggal ditembak penjenayah, pada mulanya saya ingat panggilan daripada scammer. Berulang kali saya tanya betul ke dari balai polis ni?”

Demikian kata Ahmad Said Md Piah, 65, bapa kepada Konstabel Muhammad Shafiq, 24, anggota polis yang terbunuh dalam serangan berdarah di Balai Polis Ulu Tiram, Johor kira-kira pukul 2.54 pagi tadi.



Ahmad Said berkata, dia pada mulanya sukar mempercayai kebenaran panggilan tersebut kerana menganggap berita kematian bukanlah satu berita yang boleh dipermainkan.

“Saya mendapat khabar tersebut kira-kira pukul 8 pagi tadi dan ketika itu baru pulang dari kebun. Kalau telefon daripada balai polis ni memang banyak yang menyamar juga jadi macam tak boleh nak percaya.

“Dalam masa sama saya turut menegaskan kepada pegawai yang membuat panggilan bahawa anak ketika ini sedang elok sahaja kerja menjalankan tugasnya.

“Antara percaya atau tidak, saya telefon anak sulung yang juga polis di Kuala Lumpur sebelum dia sahkan perkara sama, dia juga sudah tahu cuma tidak memberitahu kami lagi.



“Luluh hati saya ketika menerimanya,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Sri Mahkota Jaya, dekat Jaya Gading, di sini hari ini.

Muhammad Shafiq merupakan anak ketujuh daripada lapan beradik dan mula berkhidmat di Balai Polis Ulu Tiram, bermula Jun tahun lalu selepas tamat latihan di Dungun, Terengganu.

Ahmad Said berkata, hasrat Muhammad Shafiq merancang untuk pulang ke kampung halaman pada Jun atau Ogos tidak kesampaian.

“Kali terakhir dia hubungi kami penghujung Syawal lalu bertanya mahu makan apa kerana dia mahu belanja sempena hari lahir ibunya,”ujarnya



Jenazah Muhammad Shafiz akan disembahyangkan di surau Taman Sri Mahkota Jaya dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 8, Jalan Gambang di sini esok.

Sumber – KOSMO! ONLINE.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button