Kanak-kanak terjatuh dari tebing tinggi, hanya cedera ringan
KANAK-kanak empat tahun yang terjatuh dari tebing ditenangkan oleh ibu bapanya
SEORANG kanak-kanak lelaki dari Kentucky, Amerika Syarikat (AS) terselamat setelah terjatuh dari tebing dengan ketinggian 21 meter.
Kanak-kanak berusia empat tahun itu ternyata bernasib baik kerana hanya mengalami luka ringan serta kesan calar, kata Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) Wolfe County, Kentucky, dalam postingan Facebook, pada Sabtu.
Kejadian tersebut dipercayai berlaku apabila kanak-kanak tersebut sedang mendaki bersama kedua-dua ibu bapanya di Hutan Nasional Daniel Boone pada hari Jumaat, sebelah pagi.
“Ketika terjatuh kanak-kanak itu beberapa kali melanggar tepi tebing dan menggelongsor setinggi 30 kaki sebelum mendarat di dasar tebing setinggi 70 kaki keseluruhannya,” kata Pasukan SAR terbabit menerusi laman Facebook Wolfe County Search & Rescue Team.
Sebaik sahaja mendarat, bapa kepada kanak-kanak itu segera mendapatkannya lalu memeluk anak lelakinya sebelum dibawa menuruni bukit untuk menuju jalan raya, tempat anggota Pasukan SAR bertemu mereka.
“Luar biasa, walaupun anak itu mengalami luka kecil dan calar, dia kelihatan baik sahaja,” tambah Pasukan SAR lagi.