SYAMEL TAK SENGAJA DEDAH JANTINA ANAK, ‘BABY GIRL’
SYAMEL TAK SENGAJA DEDAH JANTINA ANAK, ‘BABY GIRL’
Pasangan penyanyi Syamel dan Ernie Zakri bakal bergelar ibu bapa tidak lama lagi apabila anak sulung mereka dijangka dilahirkan pada Mac tahun depan. Namun begitu, Syamel secara tidak sengaja mendedahkan jantina bayinya itu gara-gara terlalu teruja beraksi di pentas.
Syamel atau nama sebenar, Syamel Aqmal Mohd Fodzly, 28, mengumumkan pada Konsert Patriotik Tanah Airku di Istana Budaya (IB), malam kelmarin, bahawa dia dan isteri yang kini sedang hamil enam bulan itu bakal mendapat anak perempuan.
“Memang niat kami untuk berkongsi jantina anak, namun, bukan dalam masa terdekat. Situasi itu berlaku mungkin disebabkan rasa teruja seorang penyanyi yang membuak-buak selepas dua tahun tidak beraksi di hadapan peminat. Sebaik naik pentas, saya seronok kerana mendapat aura yang cukup hebat daripada penonton.
“Apabila keterujaan melanda diri, tiba-tiba saya dedahkan jantina anak. Saya harap tidak merosakkan perancangan isteri yang mungkin mahu mengadakan majlis untuk mengumumkan jantina anak,” katanya ditemui sejurus selepas konsert itu berakhir.
Ernie atau nama penuh, Nur Ernie Shahirah Zakri, 29, ketika ditanya mengenai pendedahan itu mengaku terkejut dengan aksi spontan suaminya. Bagaimanapun, Ernie tidak menyalahkan Syamel, sebaliknya, faham keterujaan dirasakan.
“Setakat ini, tiada dalam perancangan kami untuk mengadakan majlis mengumumkan jantina anak. Secara jujur, saya tidaklah rasa terkilan hanya kerana Syamel umumkan jantina anak lebih awal. Saya faham perasaannya yang sangat teruja membuat persembahan. Saya juga berkongsi perasaan yang sama dengannya,” kata penyanyi ‘Gundah’ ini.
Mengenai persiapan menyambut ketibaan si kecil, Syamel yang bernikah dengan Ernie pada Mac lalu pada majlis tertutup di Masjid Puncak Alam, Selangor itu berkata, ketika ini, mereka masih fokus kepada kesihatan Ernie.
“Kami belum buat persiapan seperti membeli kelengkapan dan pakaian bayi. Tumpuan saya sekarang adalah menjaga kesihatan Ernie. Setiap hari dia melalui pelbagai pengalaman berbeza. Ada ketika dia okay. Ada masanya, dia tidak sihat. Jadi, saya lebih risaukan perkara itu sebenarnya,” jelasnya.
SYAMEL TAK SENGAJA DEDAH JANTINA ANAK, ‘BABY GIRL’
Disyorkan Untuk Anda :
- PRN MELAKA: RATU BADAK KETUA CYTRO PH KAKI AUTA TANPA FAKTA
- PRN MELAKA: AHLI PAS AKAN BUAT KEJUTAN DALAM PRN MELAKA
- Senarai berani dan progresif PRN Melaka – Najib Razak
- Rasional ‘muka baru’ PRN Melaka – Najib Razak