Taiwan: AS beri amaran kepada China
Taiwan: AS beri amaran kepada China
WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) memberi amaran kepada China, berhubung tekanannya ke atas Taiwan, menjelang sidang kemuncak membabitkan dua kuasa besar itu.
Menurut kenyataan, Setiausaha Luar Negara AS, Antony Blinken yang bercakap dengan Menteri Luar China, Wang Yi, turut melahirkan kebimbangan mengenai tekanan ketenteraan, diplomatik dan ekonomi, ke atas Taiwan oleh republik berkenaan.
Dalam perbualan di antara Blinken dan Wang berhubung persediaan sidang kemuncak itu, Setiausaha AS itu dilaporkan menggesa Beijing mengadakan dialog dalam menyelesaikan isu selat secara aman, konsisten dengan harapan rakyat Taiwan.
Presiden AS, Joe Biden dan rakan sejawatnya dari China, Xi Jinping dijadual menghadiri sidang kemuncak secara maya pada Isnin ini (waktu Washington).
Hubungan di antara AS dan China merosot bukan sahaja membabitkan isu Taiwan, malah dalam perdagangan, hak asasi manusia serta beberapa isu lain.
Tentera China pada bulan lalu dilaporkan beberapa kali menceroboh ruang udara pertahanan Taiwan.
Washington pula berulang kali menyatakan sokongan mereka kepada Taiwan.
Dalam pada itu, Jabatan Negara memaklumkan, sidang kemuncak yang bakal diadakan itu membuka peluang dan ruang untuk kedua-dua pemimpin membincangkan mengenai tanggungjawab mengawal persaingan dua kuasa besar terbabit.
Biden sebelum ini sudah mengadakan perbualan telefon sebanyak dua kali bersama Xi, sejak menerajui Rumah Putih. – AFP