Abang selamatkan anak perempuan hanyut

Oleh – Syeikh Baran


Abang selamatkan anak perempuan hanyut
Ahli keluarga serta rakan ketika menunggu jenazah selesai dibedah siasat pukul 9 malam tadi.

‘Abang berlari dan terus terjun nak selamatkan anak hanyut dibawa arus’.

Demikian kata adik kepada Arif Fadzil Abdul Salleh, 43, yang meninggal dunia ketika mahu menyelamatkan anak perempuannya, Damia Arif Fadzil, 9, ketika beriadah di Sungai Balak, Batang Kali, di sini.



Lagi menyayat hati, bukan hanya mereka berdua terlibat dalam tragedi itu malah anak lelakinya, Abdul Malik Arif Fadzil, 6, terkorban selepas dipercayai turut terjun setelah melihat bapanya berbuat demikian.

Ketiga-tiga mangsa difahamkan diselamatkan oleh isteri Arif Fadzil dan orang awam di Sungai Jeram Ngenjur, Jalan Batang Kali Genting, di sini, tengah hari tadi.

Adik mangsa, yang hanya mahu dikenali Arif berkata, kali terakhir bertemu abang ketiga daripada sembilan adik-beradik itu adalah pada hari raya.

“Biasanya abang tak mandi di situ (tempat penemuan mayat) sebab dia tahu bahaya. Tadi pun mandi dekat atas tapi disebabkan anak dah hanyut ke bawah, dia terpaksalah pergi selamatkan.



“Waktu kejadian, saya tiada di sana dan difahamkan orang awam pun tak ada untuk selamatkan mereka ketika itu,”katanya ketika ditemui Kosmo!

Menurut sepupu mangsa, Syah, 45, bapa kepada tujuh orang anak itu merupakan seorang yang baik.

“Kali terakhir jumpa pada hari raya juga di Kuala Lipis, Pahang. Masa itu, memang dia berkelakuan pelik sedikit dan suka bercerita pasal agama.

“Hubungan kami boleh dikatakan rapat dan ketika itu banyaklah berkongsi cerita-cerita lain bersama,” ujarnya.



Mayat mangsa selesai dibedah siasat kira-kira pukul 9 malam tadi dan mula dibawa keluar menggunakan van jenazah Masjid Jamek Ar-Rahimah, di sini, untuk dimandikan serta solat jenazah di masjid berkenaan.

Jenazah seterusnya akan dibawa pulang ke Tanah Perkuburan Kampung Tempoyang, Kuala Lipis, Pahang untuk dikebumikan.

Sumber – KOSMO! ONLINE.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button