Dua warga emas ditahan salah guna gambar Agong

Oleh – Syeikh Baran


Dua warga emas ditahan salah guna gambar Agong
Gambar Hiasan

Dua lelaki warga emas ditahan polis susulan penggunaan gambar Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dengan niat menghina dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kegiatan itu pada pukul 6.18 petang.



“Hasil siasatan mendapati sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mazda dinaiki dua lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 60-an membawa gambar Seri Paduka Baginda dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Selain itu, terdapat bendera parti Pakatan Harapan (PH) di belakang kenderaan tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, katanya, polis berjaya menahan kedua-dua suspek serta merampas kenderaan berkenaan pada hari yang sama.

“Hasil semakan mendapati salah seorang suspek mempunyai rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 225 Kanun Keseksaan. Semua suspek direman selama tiga hari bermula hari ini,” ujarnya.



Tambahnya, berikutan itu, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya dan Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948.

“Kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh terdekat.

“Semua parti politik dinasihati tidak menyentuh isu kaum, raja dan agama (3R) yang akan mewujudkan keadaan tidak harmoni dalam masyarakat,” tegasnya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang sengaja membawa gambar Yang di-Pertuan Agong dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.  



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button