PRN Melaka: 11 peratus keluar undi awal setakat 9 pagi
PRN Melaka: 11 peratus keluar undi awal setakat 9 pagi
MELAKA: Sejumlah 11 peratus petugas barisan hadapan terdiri daripada polis dan tentera yang mengundi awal hari ini, sudah keluar menjalankan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, setakat ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan, jumlah itu direkodkan setakat jam 9 pagi tadi, iaitu sejam selepas proses mengundi awal dibuka di seluruh negeri ini pada jam 8 pagi.
“Statistik keluar mengundi awal bagi PRN Melaka pada jam 9 pagi mencatatkan 11 peratus,” katanya dalam pemakluman ringkas.
Dalam pada itu, proses mengundi awal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka yang membabitkan 739 anggota polis dan pasangan, berjalan lancar setakat ini.
Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, tiba bagi memantau proses pengundian awal di IPK Melaka jam 9.35 pagi, diiringi pegawai tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Terdahulu, beberapa pengurusan tertinggi PDRM hadir ke IPK Melaka bagi meninjau perjalanan proses mengundi awal PRN.
Mereka termasuk Pengarah Pengurusan PDRM, Datuk Zaini Jass, Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali dan Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah, yang tiba di IPK antara jam 8.20 hingga jam 8.50 pagi.
Yang turut hadir meninjau proses undi awal di situ calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh, Datuk Seri Micheal Gan Peng Lam yang tiba jam 8.45 pagi.