Vape, cecair perisa bernilai RM160,350 dirampas
Vape, cecair perisa bernilai RM160,350 dirampas
PASIR MAS: Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) merampas rokok elektronik dan cecair perisa bernilai RM160,350 di pangkalan haram Jeram Perdah 2, di sini, jam 8.30 malam tadi.
Pegawai Pemerintah PGA9, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, melalui rampasan itu pihaknya menemui 300 batang rokok elektronik dan 5,614 botol cecair perisa, masing-masing bernilai RM45,000 dan RM115, 350.
Katanya, ketika kejadian anggota bertugas membuat rondaan sebelum terserempak sekumpulan lelaki sedang mengangkut barang ke perahu dalam keadaan mencurigakan.
“Anggota mendekati kumpulan terbabit, namun mereka bertindak melarikan diri menggunakan perahu ke negara jiran dengan meninggal barang berkenaan.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kotak yang cuba diangkat ke perahu itu mengandungi rokok elektronik dan cecair perisa disyaki untuk dibawa ke negara jiran.
“Semua barang terbabit dirampas dan dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah bagi siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Nor Azizan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 9 Akta Racun 1952.
“Rokok elektronik dan cecair perisa mendapat permintaan tinggi di Thailand selain nilainya lebih mahal berbanding di Malaysia.
“Kita juga difahamkan, Thailand mengharamkan penggunaan rokok elektronik di negaranya, justeru mereka juga memilih cara menyeludup masuk secara haram untuk mendapatkan bekalan,” katanya.
Vape, cecair perisa bernilai RM160,350 dirampas
Disyorkan Untuk Anda :