Polis jamin siasatan kematian Khairul tidak berat sebelah

Oleh – Syeikh Baran


Polis jamin siasatan kematian Khairul tidak berat sebelah
Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Azrul Mohamed berjumpa dengan keluarga Allahyarham Mohammad Khairul di Hospital Melaka, hari ini.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan siasatan kemalangan maut remaja yang merempuh kenderaan polis di Jalan Gangsa-Kesang Durian Tunggal, di sini awal pagi semalam dijalankan tanpa unsur berat sebelah.

Dalam nahas pada pukul 2.56 pagi itu, mangsa, Mohammad Khairul Basahri, 18, dilaporkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.



Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supritendan Ashari Abu Samah berkata, PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota dan pegawai sekiranya dikesan melakukan sebarang kesalahan yang menyebabkan nahas berlaku.

“Kita ingin memaklumkan pihak PDRM tidak akan berkompromi ke atas anggota dan pegawai (terlibat).

“Tindakan tegas akan diambil dan tiada unsur berat sebelah (dalam siasatan),” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tambahnya, beliau juga telah bertemu dengan keluarga mangsa di Unit Forensik Hospital Melaka dan jenazah Mohammad Khairul akan diiring oleh pasukan polis untuk dibawa ke tanah perkuburan Islam bagi pengebumian.



“Pertemuan bersama ayah, emak serta abang arwah telah dilakukan dan kita telah menyampaikan salam takziah dari pucuk pimpinan PDRM.

“Segala kos memandikan serta mengkafankan jenazah ditanggung oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah dan jenazah akan dibawa menggunakan van PDRM dengan pergerakan van akan dieskot oleh pihak MPV,” ujarnya.

Hari ini Kosmo! melaporkan Mohammad Khairul maut selepas motosikal jenis Yamaha 135 LC yang dia tunggang merempuh kenderaan pacuan empat roda polis jenis Hilux di Jalan Gangsa-Kesang Durian Tunggal, di sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, nahas berlaku ketika pihak polis sedang melakukan rondaan cegah lumba haram susulan menerima aduan daripada penduduk setempat.



Jelasnya, ketika kenderaan polis itu hendak membelok ke kanan dari arah Durian Tunggal ke Gangsa, tiba-tiba mangsa yang dari arah bertentangan telah merempuh bahagian hadapan Hilux berkenaan lalu menyebabkannya mengalami kecederaan parah.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button