‘BIar ikut kesesuaian’

MENJALANI kehidupan berumah tangga dengan hadirnya cahaya mata yang perlu diurus membuatkan kebanyakan pelakon wanita memilih ‘berehat seketika’ daripada kerjaya seni untuk tempoh tertentu.

Bagi pengacara dan pelakon jelita, Mira Filzah, 30, ternyata sudah bersedia aktif mengatur karier seni semula selepas bayi sulungnya, Wan Khair Amir kini berusia lapan bulan. Ditambah, suami, Wan Emir Astar juga banyak membantu.

Mira yang hadir meraikan pembukaan cawangan Secret Recipe ke-350 baru-baru ini berkata, sekarang masa sesuai untuk dia mengatur jadual kerjanya dengan tawaran diterima sama ada berlakon, mengacara dan sebagai duta produk.



Pemilik nama sebenar, Nur Amirah Filzah Badioezaman ini berkata, yang pasti sebagai isteri dan ibu, dia perlu meneliti tawaran kerja yang datang mengikut kesesuaian dari segi masa, bila dan sebagainya.

“Pada saya, soal rezeki sangat luas dan tidak tertumpu untuk satu cabang saja. Umpamanya, apabila seseorang selebriti jarang muncul di televisyen, itu tidak bermakna mereka tidak aktif lagi. Sebenarnya, arah ke punca rezeki lain itu banyak.

“Bahkan, di ketika ini saya dapati ramai selebriti wanita berkahwin yang berkeluarga dan memiliki anak terbabit perniagaan atas talian. Ia juga satu langkah kerjaya yang baik dan secara tidak langsung menolak persepsi kerja dah kurang selepas berumah tangga,” katanya.



Ujar pelakon drama Pujaan Hati Kanda dan Sweet Dreams ini, cabang rezeki seseorang akan luas sekiranya mereka tidak memberi tumpuan kepada satu bidang kerja saja. Menurutnya lagi, semua bergantung kepada pilihan masing-masing.

Mengulas juga tawaran mengacara program TV, Mira yang juga bekas pengacara Nona TV3 berkata, setakat ini dia masih belum mendapat peluang mengacara yang baharu. Katanya, tidak mengapa kerana rezeki akan datang juga.

Berbicara pembabitannya dengan Secret Recipe, Mira berkata ini adalah tahun pertama dia menggalas tanggungjawab sebagai duta jenama itu. Katanya, dia amat berbesar hati apabila diundang meraikan pembukaan cawangan baharu berkenaan.



“Inilah antara peranan saya sebagai duta dilantik, selain bekerjasama juga dalam perancangan pemasaran. Bagi saya, ia sesuatu yang bagus kerana banyak ilmu perniagaan boleh dipelajari,” katanya.

Ditanya mengenai cabaran menjaga anak, Mira berkata dia bersyukur kerana Wan Khair Amir tidak banyak ragam, mudah dijaga dan mudah mesra dengan orang di sekelilingnya.

Mira berkata, dia dan suami selesa dalam urusan penjagaan anak.

“Alhamdulillah, Wan Khair Amir nampaknya tidak meragam dan buat perangai sewaktu saya tinggalkannya kerana perlu menjalani penggambaran drama. Dia okay saja dan sentiasa ceria dengan caranya. Memang mudah dijaga.



“Saya pun tidak terganggu untuk memberi tumpuan pada kerja. Alhamdulillah, setakat ini urusan kerja saya di lokasi lancar dan dipermudahkan. Saya tenang bekerja tanpa perlu banyak berfikir perkara di rumah,” katanya.

Mira yang mula aktif dalam bidang peragaan sejak usia 17 tahun, bertemu jodoh dengan lelaki pilihan, Wan Emir Astar pada 3 September 2020. Mereka dikurniakan anak, Wan Khair Amir pada 10 Mei tahun lalu.

METRO




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading