80 peniaga raih jualan lebih RM1 juta di Shopee
Seramai 80 penjual tempatan di platform e-dagang Shopee pada tahun ini berjaya menjana jualan lebih RM1 juta pada tahun pertama penyertaan mereka.
Sebahagian daripada penjual ini berasal dari kawasan luar ibu negeri dan luar bandar utama seperti Hutan Melintang, Perak; Kulim, Kedah; dan Bera, Pahang.
Mereka menjual antara lain seperti produk mudah alih dan aksesori, barangan rumah dan kediaman, serta produk kesihatan dan kecantikan.
Secara keseluruhan, jumlah penjual di platform e-dagang Shopee meningkat lebih dua kali ganda dalam masa setahun menyaksikan lebih ramai rakyat Malaysia mengalihkan atau memulakan perniagaan dalam talian.
Keadaan itu menunjukkan peningkatan pembabitan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam ekonomi digital berikutan kebergantungan pengguna yang semakin meningkat pada e-dagang dan pembayaran digital.
Ketua Pegawai Operasi Shopee, Terence Pang, berkata menjelang penghujung 2021, platform e-dagang itu sekali lagi menyaksikan rakyat Malaysia menyesuaikan diri dengan pandemik.
“Pada tahun ini, kami menyaksikan lebih ramai peniaga dan penjual tempatan sama ada memulakan langkah pertama mereka di dalam talian atau meneruskan perjalanan mereka bersama kami.
“Pencapaian penjual kami juga menjadi bukti kebolehan e-dagang untuk membina mata pencarian yang inklusif dan mampan dalam landskap perniagaan yang mencabar.
“Kami berbesar hati menjadi sebahagian daripada kisah kejayaan mereka dan terus berusaha untuk membantu lebih banyak PMKS tempatan mendapat manfaat daripada teknologi serta mempunyai akses kepada ekonomi digital,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagi membantu lebih ramai penjual berjaya di atas talian, Shopee meraikan penjual tempatan dengan memperkenalkan lebih banyak kempen di peringkat serantau dan tempatan untuk memberi lebih tumpuan kepada mereka.
Di bawah inisiatif #ShopeeSapotLokal di Malaysia, Shopee menganjurkan pertandingan ‘Seller of the Month’ di mana penjual akan berkongsi perjalanan mereka sebagai penjual Shopee di media sosial.
“Penjual yang memenangi pertandingan ini akan menerima slot penstriman langsung terbitan Shopee Live, baucar kedai, Shopee ads credits dan barangan eksklusif setelah dipilih oleh juri dalaman serta undian daripada pengguna Shopee,” tambah Pang.
Selain itu, kempen dua digit Shopee seperti 12.12 Jualan Hari Jadi yang sedang berlangsung bertujuan meraikan pencapaian penjual sambil menggalakkan sokongan rakyat Malaysia terhadap kedai mereka melalui tawaran yang menarik.
“Sambutan akhir tahun yang paling meriah ini, yang sedang berlangsung hingga 12 Disember, memberi rakyat Malaysia Baucar Penghantaran Percuma tanpa perbelanjaan minimum serta 12 juta baucar.
“Seorang pembeli bertuah akan membawa peluang sebuah kereta baharu dengan bermain Putar & Menang Hyundai Kona, ditaja sepenuhnya oleh AIG Malaysia Insurance Bhd.
“Tambahan pula, rakyat Malaysia yang menambah nilai dompet mudah alih ShopeePay dari sekarang hingga 11 Disember bakal memenangi hingga 12,121 Syiling Shopee setiap hari,” jelas Pang.
BH