Saya dilabel ‘giant killer’ – Calon PSB tidak gentar
Calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.26 Gedong, Mohamad Sofian Fariz Sharbin berkata dirinya dilabel sebagai ‘giant killer’.
Justeru, Mohamad Sofian, 36, menegaskan tidak akan sesekali gentar berdepan dengan figura politik tersohor, Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 Sarawak, 18 Disember ini.
Malah, ahli perniagaan itu meletakkan keyakinan 100 peratus untuk memberi saingan kepada Pengerusi Parti Gabungan Sarawak (GPS) itu.
“Saya memang akan hati-hati sebab Abang Johari pun orang biasa. Bagi saya, kita ini manusia, tidak takut dengan sesiapa kecuali yang di atas (Allah S.W.T).
“Kita akan membawa suara orang kampung dan belia dengan hasil saya bergerak selama ini mendapati banyak yang perlu saya ubah dan atur.
“Bukan setakat Gedong, dan saya dilabel sebagai ‘giant killer’. Jika dapat mengalahkan Abang Johari, ini adalah satu sejarah untuk Sarawak, dan sejarah kali kedua Gedong mengalahkan orang luar,” katanya ketika ditemui pemberita diluar pekarangan Pusat Penamaan Calon (PPC), di sini pada Isnin.
Selain Mohamad Sofian, Abang Johari akan turut berdepan saingan daripada calon Parti Bumi Kenyalang (PBK), Tomson Ango dan Parti Amanah Negara (Amanah), Kamal Bujang.
Mengulas lanjut, bapa kepada dua orang cahaya mata itu yang mula berjinak dalam bidang politik sejak 2013 berkata, walaupun dicalonkan pada saat-saat akhir, beliau mempunyai strategi untuk menambat hati pengundi di DUN Gedong.
Beliau berkata, selain membawa aspirasi penduduk, misinya juga adalah memastikan DUN Gedong diwakili oleh anak tempatan, dan bukannya ‘orang luar’.
Bagaimana, ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif dalam sukan permotoran Sarawak itu mengakui mengenali rapat Abang Johari.
“Dia (perlu diwakili) orang asal dan orang muda… Ya, setiap tempat perlu pembangunan tetapi jika dia (Abang Johari) kata pembangunan di kawasan Gedong, dia harus fikir di tempat lamanya (DUN N.08 Satok).
“Di kawasan N.08 dia perlu lihat pembangunan di kawasan dia sendiri sebelum dia lihat di Gedong. Adakah di DUN Satok itu membangun? Dia kena jawab dulu,” katanya lagi.
Dakwa Mohamad Sofian lagi, pelbagai isu dan rintihan penduduk kampung sebelum ini tidak didengari termasuk berkaitan lot tanah.
Perkara itu akan didedahkan sepanjang kempen PRN12 Sarawak, tambahnya.
Datuk Naroden Majais yang menjadi Ahli Dewan Undangan (ADUN) Gedong sejak 1991 mempertahankan kerusi DUN Gedong pada PRN11.
Naroden memenangi kerusi ini dengan majoriti 3,365 undi, menewaskan calon Amanah, Rapelson Richard Hamit dan calon Bebas, Uja Bensi.
awani