Dua lelaki seleweng diesel persatuan nelayan dicekup

Oleh – Syeikh Baran


Dua lelaki seleweng diesel persatuan nelayan dicekup
Anuar (kiri) melihat lori tangki milik Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Kedah yang disita di IPD Kuala Muda, Sungai Petani hari ini.

Polis merampas 29,900 liter diesel bersubsidi yang sepatutnya digunakan ahli Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Kedah kerana disyaki diseleweng dalam serbuan di sebuah premis di Bedong, dekat sini hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Anuar Abdul Rahman berkata, serbuan dilakukan selepas pihaknya membuat risikan selama tiga bulan terhadap premis itu.



Katanya, premis tersebut disyaki menjadi stor haram penyimpanan dan pemindahan diesel bersubsidi nelayan.

“Dua lelaki tempatan ditahan ketika sedang memindahkan diesel dari lori tangki milik persatuan ke dalam lori jenis Hino XZU 600J di premis itu pada pukul 10.50 pagi tadi.

“Nilai rampasan diesel ialah RM44,991 manakala nilai lori dan aset lain seperti peralatan menyedut minyak bernilai RM105,000,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, di sini hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati pemandu lori tangki terbabit mengaku menyeleweng minyak bersubsidi nelayan dengan menjualnya kepada pemilik premis berkenaan sebanyak RM250 bagi setiap 200 liter.



“Minyak berkenaan baru diambil dari sebuah depoh minyak di Perai, Pulau Pinang untuk kegunaan nelayan di Kuala Kedah tetapi suspek telah singgah di premis itu untuk menjualnya.

“Kes diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sungai Petani untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button