M Saravanan Kecam Larangan Kerajaan Halang Perarakan Thaipusam
KUALA LUMPUR : Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan mengecam keputusan kerajaan melarang perarakan sempena Thaipusam 2022 diadakan atas alasan ancaman pandemik Covid-19.
Malah dia yang juga Timbalan Presiden MIC mendakwa ada pihak tertentu dalam kerajaan sebenarnya “menyasarkan” perayaan Hindu.
“Kalau hari ini (semalam) ada ribuan orang berkumpul di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur menghadiri sambutan 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia dan tak ada penjarakan fizikal satu meter, semua ini tidak dipandang, tapi (pada masa sama) mereka menyasarkan sambutan Thaipusam.
“Saya akan berbincang dengan perdana menteri minta untuk untuk batalkan larangan ini serta-merta,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan tersebut di Kuala Lumpur semalam.
Saravanan berkata demikian ketika mengulas keputusan Kementerian Perpaduan Negara untuk tidak membenarkan perarakan kereta pedati dan kavadi pada perayaan yang dijadual berlangsung Jantahun depan.
“Minggu lepas perlawanan bola sepak diadakan (dengan penonton dibenarkan). Lepas ini ada perayaan Krismas dan tahun baru. Yang ini semua tidak disentuh. Tapi, atas nama keselamatan, perayaan Hindu menjadi sasaran.
“Kamu lihat sendiri sambutan hari ini (100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia). Ini tidak dikawal, tapi perarakan pedati dikawal dengan membenarkan hanya orang terhad sahaja menghadiri.
“Kalau sambutan hari ini (semalam) boleh diadakan sudah pasti perayaan Thaipusam juga boleh diadakan. Saya akan bincang dengan PM untuk satu penyelesaian muktamad,” katanya.
Untuk rekod, Menteri Perpaduan Negara Halimah Mohamed Sadique sebelum ini memberitahu Dewan Rakyat, semua perarakan perayaan termasuk perarakan kavadi sempena Thaipusam bagi tahun depan tidak dibenarkan berikutan ancaman varian Omicron.
Katanya, selain Thaipusam, perarakan cingge juga tidak dibenarkan semasa Tahun Baru Cina, manakala SOP untuk perayaan Krismas akan dibincangkan pada mesyuarat 14 Dis nanti.
Kenyataan Halimah mendapat kritikan daripada ahli parlimen pembangkang yang merujuk kepada kadar vaksinasi negara yang tinggi, kejayaan pilihan raya Melaka dan rasa tidak puas hati orang ramai terhadap larangan perarakan.
Kementerian itu berkata ia mengadakan sesi libat urus antara 10 ketua agama Hindu dari Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Johor, serta wakil daripada Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan pada 2 Dis lalu.
Sesi itu diadakan bagi membincangkan prosedur untuk tujuh aktiviti berbeza sekitar perayaan itu, iaitu sembahyang di kuil, perarakan kavadi, paal koodam (korban susu), cukur rambut, mandi ritual, pembukaan gerai, pergerakan kereta pedati perak dan perarakan pengiring.