Pemimpin DAP atur sidang Zoom raih sokongan jadikan Dr M calon PM
Ahli Parlimen dan bekas Menteri DAP mengadakan mesyuarat secara maya dengan akar umbi parti bagi menarik sokongan untuk Dr Mahathir Mohamad dipilih semula sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan, menggantikan Anwar Ibrahim, kata bekas Ketua DAP Johor.
Dr Boo Cheng Hau berkata demikian dalam mempertahankan dakwaannya sebelum ini, bahawa kalangan pucuk pimpinan DAP mahukan Mahathir kembali ke pangkuan gabungan itu.
“Mesyuarat-mesyuarat Zoom diadakan antara Ahli Parlimen dan bekas menteri dan akar umbi (DAP) atas nama mempertingkatkan komunikasi tetapi sebenarnya cuba memujuk akar umbi supaya tidak menyokong Anwar sebagai calon PM bagi PH, dan sebaliknya Mahathir adalah pilihan yang lebih berkeupayaan,” katanya dalam surat terbuka kepada pimpinan DAP.
Boo tidak menamakan bekas Menteri DAP yang dimaksudkannya. Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dilantik sebagai Menteri Kewangan selain beberapa pemimpin kanan parti juga menganggotai Kabinet Mahathir semasa PH memerintah selama 22 bulan.
Boo menyifatkan komen dalam mesyuarat Zoom parti itu sebagai bercanggah dengan resolusi Majlis Presiden PH bahawa Anwar adalah pilihan PM bagi PH.
Beliau berkata, perbincangan mesyuarat itu mencetuskan keadaan tidak stabil kerana “ahli-ahli akar umbi amat keliru berkenaan siapa pemimpin tertinggi PH sebenarnya bagi menghadapi PRU ke-15,” katanya.
Boo berkata, pada satu mesyuarat Zoom itu, beliau membidas seorang bekas menteri yang “memuji dan mempromosi” Mahathir walaupun menyedari beliau (Mahathir) mengakibatkan kerajaan PH tumbang tahun lalu.
Katanya, usaha meraih sokongan bagi Mahathir menghakis keyakinan terhadap keupayaan PH membawa negara ke arah pembaharuan dan reformasi.
Beliau berkata, DAP sewajarnya mematuhi keputusan yang dibuat di peringkat tertinggi PH iaitu Majlis Presidennya.
Boo juga meminta pimpinan DAP tidak berbelah bahagi dalam sokongannya terhadap Anwar dan PKR, yang menurutnya, menjadi mangsa cubaan terancang untuk menghancurkannya.
“Kita mesti berganding bahu bersama Anwar dan PKR khasnya sewaktu ada usaha terancang untuk membinasakan PKR,” katanya.
Sebelum ini, Boo dilaporkan mendakwa beberapa pemimpin DAP menggesa Anwar berundur sebagai ketua blok pembangkang.
Beliau berkata, mereka mesra dengan Mahathir dan melihat sokongan bekas Perdana Menteri itu sebagai cara untuk PH kembali menawan Putrajaya.
Boo tidak bersetuju dengan beberapa rakan partinya yang menjadikan Anwar sebagai kambing hitam untuk prestasi buruk PH dalam pilihan raya negeri Melaka bulan lalu.
fmt