Wanita dituduh sebabkan kematian anak

Ibu dituduh sebabkan kematian anak

 

Seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru di sini hari ini atas tuduhan mengakibatkan kematian anak lelakinya berusia lima tahun.

Tertuduh, R Kaleswary, 35, yang juga bekas pekerja pembersihan didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 9 pagi hingga 12.20 tengah hari pada 3 Disember lalu di sebuah rumah kedai di Taman Tan Sri Yaakub, Iskandar Puteri di sini.

Dia didakwa dengan sengaja mengakibatkan kematian Samsoon Paul berusia 5 tahun mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati jika disabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan sebaik pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Tamil di hadapan Majistret Nurmadiana Mamat.

Tertuduh yang memakai baju-T bewarna hijau dan berseluar pendek mengangguk memahami pertuduhan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Khairunnisa Zainudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Nurmadiana menetapkan 15 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi tujuan serahan dokumen.

Tertuduh tidak dibenar untuk diikat jamin.

Terdahulu di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Kaleswary bersama teman lelakinya, Muhammad Iskandar Abdullah, 32, didakwa atas pertuduhan menganiaya Samsoon Paul hingga mengakibatkan kecederaan fizikal terhadap kanak-kanak terbabit.

Mereka didakwa secara bersama melakukan kesalahan itu antara April 2021 hingga 3 Disember 2021 jam lebih kurang 12.20 tengah hari di sebuah rumah kedai di Iskandar Puteri di sini ketika mempunyai pemeliharaan terhadap Samsoon Paul.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 31 (1) akta yang sama yang dibaca mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika disabit kesalahan boleh didenda melebihi RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Kaleswary mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan manakala Muhammad Iskandar yang bekerja sebagai penghantar gas mohon dibicarakan di hadapan Hakim Fatimah Zahari.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya M Raveena dan Chai Ing Hien manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili oleh peguam bela.

Kaleswary tidak dijatuhi hukuman kerana mahkamah belum memperoleh laporan bedah siasat dan tidak dibenarkan diikat jamin berikutan turut menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Muhammad Iskandar pula dibenarkan ikat jamin RM14,000 dengan seorang penjamin serta diperintahkan supaya melapor diri di balai polis pada setiap bulan sehingga kes selesai.

Ketika prosiding Muhammad Iskandar memohon untuk diikat jamin kerana masih menanggung dua anak berusia lapan bulan dan dua tahun.

Fatimah menetapkan 27 Januari sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

BH



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button