RFID – menyusahkan atau menyenangkan rakyat?
Radio Frequency Identification-RFID merupakan satu sistem transaksi pembayaran tanpa tunai yang dicadangkan menggantikan sistem Touch’nGo dan SmartTAG secara berperingkat.
Agak mengejutkan apabila tarikh cadangan pada 15 Januari 2022 dan semalam 16 Disember 2021 perkara tersebut diumumkan menerusi media.
Siapa punya idea sebenarnya di waktu rakyat sedang bergelut dengan masalah kewangan dan ekonomi baru sahaja kembali rancak selepas pelaksanaan PKP mahu menguatkuasa penggunaan RFID sepenuhnya secara berperingkat?
Adakah mereka yang mencadangkan perkara ini telah mengambil kira semua aspek berkaitan sistem tersebut?
Menurut KKR, transaksi tol menggunakan RFID adalah langkah kementerian itu untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di plaza tol dan pelaksanaan tersebut selaras dengan Rancangan Induk Sistem Pengangkutan Pintar yang termasuk Sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong. – Laporan Awani
Alasan mengurangkan kesesakan lalu lintas di plaza tol oleh Kementerian Kerja Raya agak melucukan sebenarnya. Jika hanya itu alasan untuk menguatkuasa penggunaan RFID, rakyat akan mentertawakan KKR.
Apa jaminan KKR kesesakan dapat dielakkan di plaza tol? Apa jaminan KKR lebuh raya tidak akan mengalami kesesakan dengan efisiensi RFID bilamana kenderaan mencecah jutaan di lebuhraya?
Bagi pengguna di bandar sememangnya sistem RFID dikenali dan digunapakai dengan meluas namun bila membabitkan pengguna dari luar bandar? Tidakkah ini akan menyusahkan rakyat?
Kerajaan seharusnya lebih fokus kepada perkembangan ekonomi rakyat terlebih dahulu sebelum mahu memperkenalkan sistem baru yang membabitkan wang rakyat.
Jangan menambah garam di luka rakyat yang masih terkesan dengan covid-19.