Shafeek dan Zazo juara Lagu Cinta Kita 3

 

Pengalaman berliku dalam usaha melonjakkan nama akhirnya membuahkan hasil apabila penyanyi Shafeek Ikhwan dan pasangannya, Zaleha Zolkepli atau Zazo dinobatkan sebagai juara program realiti, Lagu Cinta Kita (LCK) musim ketiga menerusi pentas akhir yang disiarkan secara langsung dari Studio 1, Glenmarie, Shah Alam, kelmarin.

Shafeek berkata, dia bersyukur perjalanan kerjaya seni yang sangat berliku akhirnya berbaloi.

“Ada sedikit ketakutan menghantui diri apabila mahu menyertai program LCK3 kerana bimbang pasangan duet tidak boleh memberi kerjasama. Namun, takdir Allah tiada siapa mampu menduga, kejayaan ini berlaku dengan izin-Nya dan pada luar bidang kuasa kami.

“Jujurnya, pengalaman kami memang berliku. Namun, ia menjadi penutup 2021 yang sangat manis.

“Harapnya, ia membuka lorong yang lebih luas dan Bagai Cahaya seperti judul single pertama kami,” katanya.

 



Zazo berterimakasih kepada peminat

Bagi Zazo, kemenangan itu di luar jangkaan, justeru amat berterima kasih kepada peminat yang menyokong.

“Memang kemenangan kami tidak tercapai dek akal. Alhamdulillah, Shafeek sangat mudah memberi kerjasama. Walaupun sibuk, tetap memberikan yang terbaik.

“Saya sangat bersyukur. Tahun ini sangat istimewa buat kami.

“Terima kasih LCK3, TV3, keluarga dan peminat yang mengundi kami. Terima kasih kepada juri.

“Jujurnya, memang tidak sangka sebab kami sudah bersedia untuk berdepan kekalahan,” katanya.

Kemenangan Shafeek dan Zazo secara langsung melayakkan pasangan berkenaan membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM50,000 dan barangan tajaan Flavettes Nutriskincare dan Nivea.

Shafeek dan Zazo menyampaikan lagu Akhirnya Kini Pasti nyanyian asal oleh Anita Sarawak dan single baharu berjudul Bagai Cahaya.

Pentas LCK3 akhir menyaksikan semua pasangan mempersembahkan dua lagu iaitu lagu saduran dan baharu.

Ini adalah kali pertama finalis program LCK3 memiliki single dan ia sudah mula diperdengarkan di stesen radio Hot FM, minggu lalu.

Video muzik bagi keempat-empat lagu itu dapat disaksikan menerusi YouTube TV3 Malaysia Official mulai semalam.

 

Fadli & Norwanie Naib Juara

Sementara itu, naib juara menerima hadiah wang tunai berjumlah RM30,000 dimenangi oleh pasangan, Fadli Hariz dan Norwanie, manakala pasangan Faizul Asyraf atau Pasya dan Puteri Khareeza pula dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga, sekali gus meraih hadiah berjumlah RM20,000.

Tempat keempat dimenangi pasangan, Achik Asrain dan Maria Khairul dengan membawa pulang hadiah berjumlah RM15,000. Setiap pemenang juga membawa pulang barangan tajaan Flavettes Nutriskincare dan Nivea.

Walaupun hanya berjaya menjadi naib juara, Fadli Hariz atau Hariz dan Norwanie tetap bersyukur dengan pencapaian mereka.

Hariz berkata, dia tetap berpuas hati dengan kemenangan tempat kedua kerana merasakan sudah memberikan persembahan yang terbaik.

“Sebenarnya, kami tidak kisah biarpun hanya mampu berada di kedudukan kedua. Ini adalah rezeki.

“Program LCK3 sememangnya banyak membawa perubahan dalam hidup kami. Sebelum ini, Norwanie tiada keyakinan menyanyi.

“Saya pula perasan perubahan diri apabila lebih bertolak ansur seperti berduet. Kami lebih banyak ‘give and take’.

“Selepas program LCK3, kami akan mengintai apa sahaja peluang terbentang depan mata. Duet atau solo, apa sahaja, kami tidak kisah,” katanya.

Tidak kurangnya dengan Pasya dan Puteri yang lega apabila program LCK3 sudah pun melabuhkan tirai.

Kata Pasya, dia dan Puteri sudah berusaha memberikan yang terbaik, justeru tiada apa yang disesalkan meskipun hanya meraih tempat ketiga.

“Kami berpuas hati dengan persembahan malam ini, kami sudah memberikan yang terbaik.

“Sudah tentu selepas ini kami menjalankan promosi untuk single duet, Cinta Sejati Aku. Insya-Allah, jika dapat sambutan, kami akan buat lagi projek bersama sebab kami memang suka berkarya,” katanya.

Pentas akhir itu juga menyaksikan Hael Husaini hadir sebagai juri jemputan bersama juri tetap, Ajai dan Mas Idayu.

Barisan juri profesional ini menentukan markah setiap peserta sebanyak 70 peratus, manakala 30 peratus lagi menerusi undian penonton.

Persembahan Hael dan Aina Abdul turut menyerikan malam akhir LCK3 menerusi lagu Manusia Kuat, nyanyian asal oleh Tulus.

BH



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button