Covid19 – China sekat pergerakan sejuta penduduk
Lebih sejuta penduduk di sebuah bandar di ibu negara China dikurung di rumah mereka hari ini.
Tiga kes COVID-19 tanpa gejala direkodkan dalam langkah sekatan pergerakan besar-besaran terbaru negara itu.
Yuzhou, sebuah bandar dengan populasi kira-kira 1.17 juta di wilayah Henan, mengumumkan semua rakyat dikehendaki tinggal di rumah untuk mengawal penularan virus itu, mulai semalam.
Penduduk di kawasan pusat bandar ‘tidak dibenarkan keluar rumah’, manakala semua komuniti perlu mewujudkan kawalan dan pagar.
Bandar itu mengumumkan operasi perkhidmatan bas dan teksi dihentikan serta menutup pusat membeli-belah, muzium dan tarikan pelancong.
Beijing melaksanakan pendekatan ‘sifar COVID’ dengan sekatan sempadan ketat serta pergerakan disasarkan sejak permulaan penularan virus itu.
Bagaimanapun, strategi itu mendapat tekanan dengan beberapa siri penularan tempatan baru-baru ini dan hanya berbaki sebulan sebelum Sukan Olimpik Musim Sejuk berlangsung.
Sementara itu, China merekodkan 175 lagi kes baharu COVID-19 hari ini, termasuk lima di wilayah Henan dan lapan lagi dalam kelompok berasingan, dikaitkan dengan kilang pakaian di timur bandar Ningbo.
Walaupun kes dilaporkan adalah rendah berbanding tempat lain di dunia, jangkitan COVID-19 baharu dalam beberapa minggu kebelakangan ini mencapai tahap tertinggi di negara itu, sejak Mac 2020.
Terdapat 95 kes baharu direkodkan hari ini di Xi’an, bandar bersejarah dengan 13 juta penduduk di wilayah berjiran Shaanxi, yang turut dikenakan sekatan pergerakan hampir dua minggu.
Xi’an merekodkan lebih 1,600 kes sejak 9 Disember 2021, walaupun jumlah dalam beberapa hari lalu mula menurun beberapa minggu sebelumnya.
– AFP