Karier Suraya menyinar menyambut 2022

 

Tahun 2022 disambut dengan gembira oleh Jasmin Suraya Chin kerana karier lakonannya semakin menyinar.

Pelakon kelahiran Sarawak ini gembira kerana dia baharu sahaja selesai menjayakan projek dengan pengarah tersohor, Kabir Bhatia dan Jason Chong.

“Projek ini sangat istimewa dan akan ditayangkan penghujung Januari ini menerusi WeTV.

“Projek seperti ini belum pernah lagi orang buat. Ia sesuatu kandungan yang agak wow dan lain dari yang lain kerana kandungan dan jalan ceritanya.

“Ada banyak babak yang tak pernah kita tengok dalam cerita di Malaysia sebelum ini,” katanya.

Pelakon filem Paskal dan drama bersiri Adellea Sofea ini berkata, drama gabungan konsep Sex and The City, Desperate Housewife dan drama Korea berjudul Sky Castle ini amat menarik untuk ditonton.

“Selain saya, turut berlakon ialah Mimi Lana, Tiz dan Mawar Rashid. Gandingan kami sememangnya bawa kesegaran untuk cerita ini.

“Selain itu, saya juga bekerjasama kali pertama dengan Sheila Rusly untuk satu drama kisah biografi personaliti sukan popular, Shalin Zulkifli.

“Ini adalah satu cabaran yang saya tak pernah buat sebelum ini. Saya bawa watak seorang yang masih hidup,” katanya.





Jasmin, 33, bekerja keras melakukan kajian mengenai watak, menelaah skrip dan mempelajari karakter Shalin supaya watak yang dibawakan nanti berbaloi dan menjadi.

“Bagi saya cabaran sebenarnya adalah dari segi fizikal sebab untuk buat watak ini saya kena tambah berat badan lima hingga lapan kilogram.

“Ia kerana untuk projek sebelum ini, saya terpaksa diet sebab nak kuruskan badan untuk memenuhi keperluan watak.

“Untuk projek terbaharu ini, saya hanya ada masa sangat singkat terpaksa tambah berat badan dan ia sangat susah bagi saya,” katanya.

Jasmin kini bertekad mahu memilih watak yang benar-benar berkualiti untuk terus menyerlahkan bakatnya dalam lakonan.

“Ada beberapa tawaran yang datang, jadi saya ambil yang istimewa dari segi cabaran, karakter, pengarah dan pelakon lain

“Sudah tentunya watak terbabit lain dari segi karakter sebenar saya. Ramai yang kenal saya sebelum ini menerusi watak antagonis.

“Jadi, itu antara persepsi yang saya nak tukar. Saya nak buktikan mampu watak lain,” katanya yang mengakui jadual lakonannya sudah terisi sehingga Ogos depan.

Bercerita berkenaan filem lakonannya, Marabahaya Underground yang disiarkan menerusi Astro First, Jasmin bersyukur kerana kerana ia mendapat sambutan positif dari penonton.



“Filem ini menduduki tangga pertama dari segi tontonan. Ia satu kejayaan bermakna buat kami yang terbabit.

“Dalam perkembangan lain, saya kini mengusahakan bisnes jeruk. Rakan saya dah buat di Sarawak dan memang ramai yang suka.

“Sekarang kilang dah ada di sini. Saya nak jenamakan semula dan pasarkan. Harapnya Februari depan dapat dilancarkan,” katanya.

Jasmin berkata, tahun lalu tiada pengalaman manis dan pahit yang dilaluinya dan ia hanya sederhana.

“Barangkali kehidupan saya agak membosankan. Mungkin reaksi saya agak neutral kerana kita dah lalui banyak perkara.

“Saya rasa saya dah pandai tempuh banyak masalah dan berdepan situasi yang tak pernah dilalui sebelum ini.

“Kalau dulu ketika kecil mungkin saya ‘anxiety’ dan terlalu bereaksi atau memandang serius terhadap banyak perkara.

“Tapi, disebabkan itu dan belajar dari pengalaman, tahun lepas tak banyak benda yang berlaku kerana kita berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) agak lama. Jadi, saya rasa biasa,” katanya.

metro



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button