Mangsa banjir Johor terus meningkat

 

Jumlah mangsa banjir di Johor terus meningkat kepada 5,479 orang daripada 1,486 keluarga di 78 pusat pemindahan sementara (PPS) membabitkan tujuh daerah, setakat jam 8 pagi ini.

Ia berbanding hanya 5,442 mangsa daripada 1,476 keluarga di 78 PPS, jam 4 pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata Segamat masih menjadi daerah paling terjejas banjir di negeri ini apabila mangsa banjir daerah itu meningkat kepada 4,016 orang daripada 1,093 keluarga yang ditempatkan di 52 PPS, pagi ini.

Katanya, ia berbanding hanya 3,988 mangsa daripada 1,086 keluarga yang ditempatkan di 52 PPS, jam 4 pagi tadi.



“Sehingga kini, sebanyak 78 PPS masih dibuka di Johor dengan Segamat yang paling banyak iaitu 52, diikuti Tangkak (10), Mersing (tujuh), Kota Tinggi, Batu Pahat dan Muar masing-masing tiga dan Kluang (sebuah).

“Mangsa banjir paling ramai adalah di PPS Dewan Serbaguna Logah, Segamat (519 mangsa daripada 136 keluarga), Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tenang (502 mangsa daripada 157 keluarga) diikuti SJK (C) Tah Kang di Segamat dengan 319 mangsa daripada 85 keluarga.

“Kluang juga menunjukkan peningkatan jumlah dengan 106 mangsa daripada 33 keluarga yang ditempatkan di sebuah PPS, berbanding hanya 97 mangsa daripada 30 keluarga di sebuah PPS, awal pagi tadi.

“Lima daerah yang kekal merekodkan jumlah mangsa meliputi Mersing dengan 548 orang daripada 142 keluarga di tujuh PPS, Tangkak dengan 434 mangsa daripada 111 keluarga di 10 PPS, selain Kota Tinggi dengan 210 mangsa daripada 61 keluarga di tiga PPS,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, turut mencatatkan jumlah mangsa banjir yang sama adalah Batu Pahat dengan 107 mangsa daripada 31 keluarga ditempatkan di tiga PPS dan Muar pula seramai 58 mangsa daripada 15 keluarga di tiga PPS.

BHonline

Leave a Reply