Kiatisuk Senamuang calon jurulatih Harimau Malaya

 

Bekas pengendali pasukan kebangsaan Thailand, Kiatisuk Senamuang dikatakan antara calon pengendali baharu skuad Harimau Malaya.

Dakwaan itu dibuat media Thailand, Thairath selepas ‘kerusi panas’ dalam skuad Harimau Malaya kini kosong susulan peletakan jawatan Tan Cheng Hoe, Isnin lalu.

Kiatisuk yang pernah membimbing skuad Gajah Perang menjuarai Piala AFF pada tahun 2014 dan 2016 bagaimanapun kini memikul tugas sebagai pengendali kelab Hoang Anh Gia Lai (HAGL) di Liga Vietnam.

Namun, spekulasi mengenai jurulatih berusia 48 tahun itu akan mengendalikan Harimau Malaya sebenarnya bukanlah pertama kali muncul kerana khabar angin sama pernah bertiup pada tahun 2017.

Ketika itu Kiatisuk dikatakan akan mengisi jawatan ketua jurulatih Harimau Malaya bagi menggantikan Datuk Ong Kim Swee sebelum spekulasi itu dinafikan isterinya, Asarapa Senamuang.

Asarapa dilaporkan berkata: “Tidak, dia tidak ada mengadakan perbincangan dengan mana-mana pasukan ketika ini. Sekarang dia hanya melakukan kerja sendiri dan belum menerima sebarang tawaran daripada sesiapa.”

Kenyataan Asarapa ternyata benar apabila Kiatisuk tidak dilantik sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan Malaysia sebaliknya pengendali dari Portugal, Nelo Vingada diberi tanggungjawab membimbing Harimau Malaya.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button