“Tak sangka harga sekarang dekat RM12,000” – Nabil Ahmad

 

 

“Saya dah beli lama kasut ini sekitar empat tahun lepas, tak sangka sekarang harga dia dekat RM12,000.”

Demikian komen daripada pelakon dan pelawak, Nabil Ahmad atau nama sebenarnya, Ahmad Nabil Ahmad yang mencuri perhatian netizen apabila menggayakan kasut berjenama, Air Jordan 1 Retro High OG Chicago pada konsert suku akhir Gegar Vaganza kelapan (GV8) hujung minggu lalu.

Kata Nabil, 38, waktu dibeli, kasut berkenaan harganya hanya sekitar AS$500 (RM2096) dan dia langsung tidak berniat untuk menunjuk-nunjuk barangan berjenama miliknya.

“Saya tak tahu pun kasut yang saya pakai menjadi cakap-cakap orang dalam media sosial dan saya tiada niat nak menunjuk-nunjuk apa yang saya pakai.

“Kebetulan awak telefon baru saya tahu orang sibuk bercakap tentang kasut yang saya gayakan. Dah lama beli sebenarnya kasut berstatus ‘Hypebeast’ ini. Dulu beli murah je tiadalah sampai harga berbelas ribu,” katanya kepada Kosmo! Online sebentar tadi.

Seloroh Nabil, isterinya, Nazirah Ayub, selalu menasihatkan dirinya agar berjimat cermat dalam berbelanja.



 



“Kalau isteri tahu saya beli kasut sampai harga berbelas ribu, nahas saya (ketawa). Dia akan cakap, daipada habis duit beli kasut mahal baik habiskan duit beli tas tangan untuk dia.

“Inilah nasib seorang suami tapi yang penting saya memang tiada niat nak menunjuk-nunjuk kasut mahal atau apa sekalipun. Kebetulan kasut ‘kena’ dengan sut yang saya gayakan (malam itu), saya pun pakai sahaja. Tak sangka jadi buat mulut netizen,” katanya.

Nasihat Nabil, tidak kira apa pakaikan atau segala perhiasan yang digayakan, semua ini hanya sementara dan janganlah bersifat taksub dengan jenama mewah.

“Nanti kita mati, semua kita tinggalkan. Isteri, anak-anak, kawan-kawan dan kasut barangan mewah. Semua ini sementara sahaja dan janganlah diagung-agungkan.

“Jumpa Allah nanti kita bawa iman dan amal untuk dihitung. Allah tak tengok kita pakai baju atau kasut jenama apa. Mungkin kedengaran klise orang dengar ini keluar dari bibir saya tapi itulah realiti sebenarnya,” ujarnya.

Terdahulu, netizen pantas melakukan siasatan mencari harga pasaran kasut yang digayakan bapa kepada tiga cahaya mata itu di pentas GV8.

Perkongsian seorang pengguna Twitter @HarmanHarison menjadi bualan apabila mendedahkan kasut berkenaan dianggarkan berharga RM11,919.

“Patutlah aku perati kasut Nabil kat #gegarvaganza2021 ni cantik semacam je. Rupanya harga RM11,919.85 (AS$ 2833),” ciapnya.

– K! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button