Bintang YouTube ‘Benjamin Button’ meninggal dunia

 

Bintang YouTube remaja popular Amerika Syarikat (AS) yang menderita ‘penyakit Benjamin Button’ atau sindrom penuaan yang terlalu cepat disahkan meninggal dunia, Rabu lalu.

Adalia Rose, 15, dari Texas menjadi terkenal dan memberi inspirasi kepada orang ramai selepas tampil berkongsi kisah hidupnya dengan keadaan jarang jumpa dikenali sebagai Progeria.

Ia menjadikan kulit dan rupa parasnya menjadi jauh lebih tua berbanding usia sebenar.

Keluarganya yang berkongsi berita sedih itu di Facebook menyifatkan kematian remaja itu sebagai ‘mengakhiri’ penderitaan gadis itu.

“Pada jam 7 malam, 12 Januari 2022, Adalia Rose Williams, pergi dari dunia ini.

“Kami berterima kasih kepada semua atas kasih sayang dan sokongan kepadanya.

“Terima kasih juga kepada semua doktor dan jururawat yang bertungkus-lumus memastikannya sihat untuk beberapa tahun ini,” kata wakil keluarga kepada remaja itu, menerusi akaun Ryan Natalia Pallante seperti dilaporkan Daily Star.

Adelia menderita penyakit itu sejak dilahirkan yang turut menyebabkan masalah pada pertumbuhan, suara serta sendi.

Personalitinya yang ceria setiap kali tampil dalam YouTube berjaya meraih lebih 170 juta tontonan dalam satu platform perkongsian video, pada 2018.

Adalia juga sangat popular di Facebook dengan jutaan peminatnya meninggalkan komen positif selain turut memberi inspirasi kepada kanak-kanak di seluruh dunia.

Dilaporkan, hanya 500 individu di dunia mengalami keadaan sama seperti itu dan biasanya jangka hayat mereka singkat, dan dapat hidup 13 tahun sahaja. – AGENSI



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button