Amy nafi punca kemelut Search

 

Keakraban dan persahabatan bagaikan satu keluarga dibina selama 40 tahun membabitkan anggota kumpulan ikonik legenda, Search kini lebur dan bertukar menjadi sengketa tiada berpenghujung.

Bermula isu hak cipta nama Search diguna syarikat Home of Champions (HOME) demi kepentingan perniagaan sehingga melarat-larat kepada gandingan anggota asal iaitu Amy, Nasir Daud, Hillary Ang dan Man Kidal.

Menambahkan kekeliruan apabila dua gitaris Search, Din dan Kid mengumumkan mempunyai vokalis baharu yang juga penyanyi dari Indonesia, Denden Gonjales yang diperkenalkan, baru-baru ini.

Situasi ini bukan sahaja menyebabkan kumpulan legenda ikonik yang popular menerusi lagu Fantasia Bulan Madu, Isabella dan Fenomena itu terus dihambat kontroversi, malah, peminat setia turut berpecah-belah.

Meskipun dituduh punca kepada segala kemelut berlaku, namun, vokalis Search, Amy tidak melihat apa yang dilakukannya sebagai satu kesilapan.

“Saya tak anggap apa-apapun terhadap segala kontroversi berlaku selepas lebih empat dekad dalam industri muzik. Saya tahu apa yang dilakukan dan hanya buat apa yang difikirkan terbaik buat diri dan rakan lain.

“Emosi tidak terjejas kerana saya tak melakukan kesalahan. Semuanya bermula daripada mereka, jadi merekalah perlu bertanggungjawab atas segala kemelut yang berlaku,” kata Amy lagi.



Berhubung barisan baharu Search dianggotai Nasir, Hillary dan Man Kidal serta usaha untuk merakamkan single baharu yang didakwa menimbulkan kekeliruan, Amy berkata, perkara itu tidak sepatutnya dibangkitkan.

“Kenapa pula nak anggap timbul kekeliruan? Sepanjang empat dekad dalam bidang muzik, peminat tahu apa yang saya lakukan. Jadi, tak timbul isu kononnya gabungan baharu boleh menimbulkan kekeliruan kecuali jika ada yang sengaja mengambil kesempatan ke atas perkara ini.

“Lagipun, kami adalah perintis Search sejak 1981. Kami bersetuju bergabung bersama ahli yang juga pengasas iaitu Hillary, beliau jugalah individu yang bertanggungjawab memilih nama band ini sebagai Search.

“Kami bersetuju bergabung dengan Man Kidal. Kita tahu beliau gitaris hebat yang pernah bersama Search dari 1983 sehingga album Cinta Buatan Malaysia. Justeru, kami bersetuju dan bertanggungjawab memelihara serta meneruskan legasi Search.

“Sejujurnya, saya tak sabar mahu merakamkan single baharu. Bukan sahaja lagu, tetapi kami sudah menyusun pelbagai rancangan tahun hadapan. Kiranya, 2022 adalah tahun terbaik untuk saya dan Search,” ujar Amy.

Ditanya kemungkinan konflik yang tercetus berakhir, penyanyi berusia 63 tahun ini, mengakui perkara itu agak mustahil berlaku.

“Kontroversi ini tidak akan berakhir selagi pihak sana terus membangkitkan isu hak, sedangkan saya sendiri tidak pernah buka mulut mengenai hak ataupun mempertikaikan hak orang lain. Ini kerana ia adalah hak bersama.

“Jadi, apabila mereka asyik bercerita soal hak, saya lebih selesa mendiamkan diri. Mereka tahu sebenarnya ia adalah hak bersama. Hak saya, arwah Yazit, Nasir dan hak sesiapa sahaja yang terbabit dalam rakaman album,” tegasnya.

Mengulas tindakan undang-undang diambil oleh Amy, Nasir dan waris arwah Yazit ke atas individu bernama Mozylir Mokhtaruddin kerana didakwa menggunakan nama kumpulan Search tanpa kebenaran, pemain bess Search, Nasir pula merasakan perkara itu lebih baik diselesaikan mengikut landasan betul.

“Nak bergaduh dan bertumbuk pun tiada guna. Negara ada undang-undang, jadi biarlah mahkamah menentukannya.

“Biar semua orang tahu, kalau betul nak buka semua cerita, buka sampai bogel.

“Alang-alang kain sudah terbuka, biar terbuka sampai habis. Biar orang tahu siapa patut pegang nama Search dan siapa tak boleh pakai dalam Search ini. Kalau ada pihak merasakan ada hak, keluarkan bukti,” katanya.

BHOnline

Leave a Reply