Boris Johnson nafi berbohong kepada Parlimen
Perdana Menteri Britain, Boris Johnson semalam menafikan tuduhan oleh bekas penasihatnya bahawa dia berbohong kepada Parlimen mengenai parti sosial di Downing Street dihadirinya ketika perintah berkurung.
Beliau menjelaskan, tiada siapa yang memberi amaran kepadanya ‘mengenai pesanan membawa minuman keras sendiri’ yang mungkin melanggar peraturan sekatan bagi memutuskan penularan pandemik COVID-19 ketika itu.
Johnson sedang berdepan krisis terburuk dalam tempoh perkhidmatannya selepas pendedahan mengenai kehadirannya dalam parti itu ketika ada rakyat Britain yang tidak dapat menziarahi saudara mara sedang nazak, dan Ratu Elizabeth II berkabung atas pemergian suaminya, Putera Philip.
Johnson yang pernah menjadi watak penting dalam menamatkan keahlian Britain dalam Kesatuan Eropah (EU) menerusi Brexit, namun kini beliau berdepan desakan supaya meletak jawatan oleh pemimpin pembangkang dan beberapa Ahli Parlimen kerajaannya sendiri.
Ketika ditanya sama ada dia berbohong kepada rakyat dan Parlimen, Johnson memberitahu wartawan, “Tidak, tiada siapa yang memberitahu saya bahawa apa yang kami lakukan adalah, seperti yang anda katakan, melanggar peraturan … Saya fikir saya sedang menghadiri acara kerja,”.
Johnson turut mengabaikan soalan sama ada dia akan meletakkan jawatan jika terbukti beliau membohongi Parlimen.
“Biar tunggu hasil siasatan dalaman,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Parti Buruh, Angela Rayner berkata, jika Johnson menghormati rakyat Britain maka beliau akan melakukan perkara yang baik dan meletakkan jawatan.
“Bagaimanapun, beliau (Johnson) sebagai Perdana Menteri, dia tetapkan peraturan, tidak perlu sesiapa memberitahunya bahawa parti yang dihadirinya melanggar peraturan,” katanya.
Johnson memanfaatkan wawancara singkat ketika lawatan ke hospital untuk memohon maaf atas kesilapan yang dilakukan di Downing Street, termasuk untuk parti yang diadakan oleh kakitangan pada malam pengebumian suami Ratu Elizabeth.
“Saya amat kesal dengan kejadian itu dan saya hanya boleh mengulangi permohonan maaf kepada Baginda dan negara,” katanya
Johnson sudah melakukan permohonan maaf pada minggu lalu kepada Parlimen kerana menghadiri perhimpunan di Downing Street, pada 20 Mei 2020
Menurutnya, dia berada di sana selama 25 minit untuk mengucapkan terima kasih kepada kakitangan.
– REUTERS