Saya akan bersalin bila-bila masa – Neelofa
Selepas mengunci mulut selama lapan bulan, selebriti popular Neelofa akhirnya mengakui sedang menghitung hari menunggu kelahiran cahaya mata sulungnya.
Akui pemilik nama sebenar Noor Neelofa Mohd Noor, 33, perasaan gementar turut dirasainya menjelang proses kelahiran anak pertamanya nanti.
“Ya, sekarang ini saya menghitung hari dan bila-bila masa sahaja akan bersalin. Insya-Allah kami akan umumkan berita kelahiran anak kami nanti.
“Gementar juga nak melalui proses melahirkan nanti, harap akan dapat bersalin normal jika semuanya dalam keadaan baik,” katanya kepada Kosmo! Online hari ini.
Neelofa berkata demikian usai majlis pelancaran perisa baharu susu Nilofa di Bayswater at KLCC di ibu negara.
Ditanya tentang persiapan, bekas pengacara MeleTOP itu memberitahu banyak bertanya tips dan nasihat daripada ahli keluarga sebagai persediaan untuk bergelar seorang ibu.
Katanya, bayi sulungnya hasil perkahwinan dengan pendakwah terkenal, Haris Ismail juga akan dilahirkan di Kuala Lumpur.
“Alhamdulillah barangan bayi sudah kami sediakan.
“Ternyata proses mengandung, melahirkan dan menjadi seorang ibu merupakan satu pengalaman yang sangat berbeza.
“Mental juga perlu bersedia dengan banyak membaca dan bertanya nasihat daripada ahli keluarga kami,” ujarnya lagi.
Untuk rekod, Neelofa dan Haris selamat bernikah di sebuah hotel terkemuka di ibu negara pada 27 Mac tahun lalu.
Sejak Julai tahun lalu, berita mengenai kehamilan Neeofa hangat diperkatakan umum, namun pelakon drama Suri Hati Mr. Pilot itu kekal dengan pendirian untuk tidak berkongsi lanjut mengenai status kandungannya.
Antara pendekatannya yang menarik perhatian ramai adalah lebih baik berkongsi tentang kelahiran berbanding kehamilan.- K! ONLINE