Bukan masa sesuai PRN – PH Johor
Pakatan Harapan (PH) Johor tetap berpendirian ketika ini bukan masa sesuai untuk mengadakan pilihan raya, berikutan rakyat sedang berdepan pelbagai isu termasuk ekonomi, penularan COVID-19 meliputi varian Omicron dan bencana banjir.
Perkara itu ditegaskan dalam satu kenyataan bersama, hari ini, oleh Pengerusi PH Johor yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Aminolhuda Hassan; Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh, dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.
Dalam kenyataan itu, PH Johor mendakwa bahawa tindakan UMNO mencetuskan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, dilihat sebagai helah bertujuan mengambil kesempatan ketika ramai rakyat negeri ini dijangka menghadapi kesukaran untuk pulang mengundi.
“Kerana itulah, PH Johor sebagai blok pembangkang terbesar di Dewan Negeri, telah memberikan kerjasama agar pentadbiran kerajaan berjalan dengan baik.
“Penggal pentadbiran berbaki lebih kurang setahun saja lagi. Mengapa tidak boleh tunggu sehingga keadaan kesihatan dan ekonomi lebih stabil?
“Kami juga cukup yakin bahawa inilah kerisauan, hasrat dan nurani rakyat biasa ketika ini. Malah, pelaksanaan PRN yang bakal menelan belanja sekurang-kurang RM150 juta adalah suatu pembaziran wang rakyat.
“Malangnya, UMNO sedikit pun tidak empati kepada rakyat yang sedang berada dalam keadaan sukar,” menurut kenyataan itu.
Mereka turut mendakwa, ia adalah pilihan raya yang dipaksakan dan mengambil kesempatan atas kesempitan rakyat.
Apa pun, menurut kenyataan itu lagi, PH Johor akan mengambil segala langkah yang perlu untuk mempersiapkan diri berdepan situasi berkenaan.
Sultan Ibrahim, Sultan Ibrahim Iskandar, memberi perkenan pembubaran DUN Johor, berkuat kuasa semalam, bagi memberi laluan kepada PRN.
Sebelum itu, baginda berkenan menerima menghadap Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, di Istana Bukit Serene, Johor Bahru, jam 5 petang semalam.
BHOnline