Dua lelaki dipenjara enam bulan guna MyKad palsu
Dua lelaki warga Filipina dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Seri Manjung, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menggunakan kad pengenalan palsu.
Kedua-dua tertuduh, Sulaiman Janalun, 36, dan Mizwan Zakaria, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan berasingan oleh jurubahasa di hadapan Majistret, A Hafiizh Abu Bakar.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap.
Mengikut pertuduhan, Sulaiman didapati menggunakan kad pengenalan palsu atas nama Mohamad Ridwan Duraman sebagai pengenalan dirinya manakala Mizwan menggunakan kad pengenalan palsu atas nama Al Adzmi Seid.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan klinik Mediclinic Sinaran, Sitiawan pada 12.30 tengah hari, 21 Januari lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan boleh dihukum mengikut peraturan sama.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-dua sekali.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) , Zulkifli Idris manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh ditahan dalam Ops Jala Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN Putrajaya di klinik swasta di Sitiawan pada 21 Januari lalu ketika masing-masing melakukan ujian saringan COVID-19.
Mereka bekerja sebagai jurukimpal yang datang dari Kuala Lumpur dan Johor Bahru, diuruskan ejen pekerjaan untuk bekerja di kilang di kawasan sekitar ini.
Semakan dibuat mendapati kedua-duanya mengguna kad pengenalan palsu itu di Sabah dengan harga RM350 dan RM500.
BHOnline