Bukit Aman panggil Dr Wan Azizah petang ini
Polis mengesahkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dipanggil ke Bukit Aman pada jam 3 petang hari ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata Ahli Parlimen Pandan itu diminta hadir untuk direkod keterangan bagi membantu siasatan penerbitan buku bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’ ditulis bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.
“Benar (Wan Azizah dipanggil Bukit Aman) dan ini adalah prosedur biasa dalam sesuatu siasatan,” katanya kepada BH, hari ini.
Media melaporkan pasukan petugas khas siasatan ke atas dakwaan Tommy dalam bukunya itu, mengadakan mesyuarat pertama di ibu negara, pada 23 Disember lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dipetik berkata pasukan khas itu ditubuhkan bagi membuat awal berhubung beberapa dakwaan yang ditulis dalam buku itu termasuk isu pelantikan hakim, campur tangan melampau badan eksekutif dalam sistem kehakiman dan pendakwaan terpilih.
Tommy menerbitkan buku berkenaan pada awal tahun tahun lalu, namun menerima banyak kritikan daripada pelbagai pihak antaranya Jabatan Peguam Negara, peguam, ahli politik dan orang awam kerana didakwa mengandungi unsur hasutan, penghinaan serta fitnah.
Berikutan itu, polis menerima lebih 100 laporan terhadap Tommy berhubung penerbitan buku berkenaan.
BHOnline