PGA tumpaskan sindiket penyeludupan rokok dan mercun

 

Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan mercun dan rokok dengan penahanan seorang lelaki warga tempatan dan merampas pelbagai jenis mercun, rokok dan sebuah kenderaan dengan jumlah keseluruhan RM723,496 termasuk cukai, pada Khamis.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA Simpang Renggam, Superintendan Dimin Awang berkata, penahanan terhadap lelaki berumur lingkungan 39 tahun itu dibuat di Jalan Ahad Kampung Ungku Mohsin, di sini, pada jam 6.50 petang.

“Suspek ditahan ketika sedang memandu keluar dari kawasan tersebut dengan sebuah kenderaan pelbagai guna.

“Pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut menemui 15 kotak mercun pelbagai jenis.

“Seterusnya, pemeriksaan telah dilakukan di sekitar kawasan tersebut dan menjumpai 2,620 karton rokok pelbagai jenama tiada cukai kastam yang disembunyikan dalam sebuah kontena kecil.

“Anggaran nilai rokok ialah RM257,344 manakala anggaran nilai cukai ialah RM408,752.

Selain mercun yang dirampas bernilai kira-kira RM12,400.00 manakala anggaran nilai kenderaan yang dirampas ialah RM48,000. Sekaligus menjadikan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM723,496.

“Hasil siasatan awal terhadap suspek dipercayai aktif membekalkan rokok tidak bercukai ke kedai-kedai runcit di sekitar kawasan Johor Bahru,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Dimin Awang, tangkapan dan rampasan ini berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket pengedaran rokok tidak bercukai di sekitar kawasan Johor Bahru.

Katanya, suspek dan kesemua hasil rampasan dibawa ke IPD Johor Bahru Selatan untuk tindakan lanjut selain kes disiasat mengikut Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967 dan Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207).

Leave a Reply