Menjejaki Opera Cina

 

Di suatu sudut di Jalan Sultan, berhampiran pusat beli-belah terkenal, Petaling Street, iaitu di tengah-tengah kota kosmopolitan Kuala Lumpur, berdiri megah sebuah bangunan yang menjadi lokasi ahli Persatuan Benevolent Dramatic Yan Keng Selangor, mementaskan opera Cina.

Mungkin ramai tidak tahu, sejak berpuluh tahun lalu, bangunan lama itu menjadi pusat persembahan teater tradisional purba yang cukup dikenali dengan solekan bedak asas rona putih dan merah jambu pada wajah pelakon, dilengkapi kostum aneka warna yang halus kerja seninya.

Bagi menghidupkan nostalgia opera Cina, apatah lagi dalam kalangan generasi muda yang mungkin tidak menyedari keindahan, falsafah dan disiplin yang diterapkan dalam pementasan ini, iklan televisyen (TV) atau komersial Keluarga Malaysia mengangkat kisah di sebalik aktiviti sekumpulan aktivis seni ini sempena Tahun Baharu Cina yang bakal diraikan, Selasa ini.

Selaras dengan aspirasi Keluarga Malaysia, iklan yang diterbitkan itu diilhamkan daripada kisah benar di sebalik seni opera Cina yang semakin dilupakan.

Pengarah kreatif projek iklan TV Keluarga Malaysia, Faisal Rais, berkata bagi memberi kelainan, tema baharu diperkenalkan dengan mengangkat kisah di sebalik opera Cina, bukan lagi tarian singa yang sering ditampilkan setiap kali tiba Tahun Baharu Cina.

“Kita boleh lihat di Sydney, Australia, mereka sudah mula mementaskan opera Cina di luar sambutan perayaan.

“Namun, di Malaysia, kita lihat, opera Cina dipentaskan ketika sambutan perayaan menghalau hantu sahaja. Mencontohi usaha itu, kami mahu mengetengahkan seni opera Cina sempena Tahun Baharu Cina.

“Ilham datang kerana ramai insan di sebalik tabir, membesar dengan pementasan opera Cina. Saya yang berasal dari Batu Pahat, Johor, juga membesar dengan seni ini.

“Jadi, kami fikir, mengapa tidak kami diketengahkan seni turun-temurun ini. Seperti seni makyung, wayang kulit dan sebagainya, opera Cina tidak kurang menariknya.

“Melalui iklan yang diterbitkan ini, kami berharap seni opera Cina terus dihargai,” katanya kepada BH Online.

Projek di bawah inisiatif Keluarga Malaysia itu bakal dipertontonkan, Ahad ini dalam pelbagai versi dan bahasa termasuk iklan seminit di TV.

Selain itu, video dua minit bakal dimuat naik di platform media Keluarga Malaysia seperti Facebook (FB) dan YouTube.

Iklan ini turut menyelitkan mesej perpaduan melalui pembabitan pelakon pelbagai bangsa seperti Charmaine Cheong dan Ryan Raj.

Berkongsi cabaran menjayakan kerja penggambaran yang mengambil masa kira-kira 12 jam, Faisal berkata, selain pengisian, busana dan lokasi opera Cina menjadi antara dua perkara yang paling sukar direalisasikan.

“Kami bekerjasama dengan tiga persatuan tempatan untuk mencari busana. Apa yang sukar bukan sekadar mencari busana, sebaliknya, cara memakai busana dan memasang aksesorinya.

“Bagaimanapun, kami sifatkan pengalaman ini sebagai ilmu baharu. Sama juga dengan pencarian lokasi.

“Bangunan ini pernah mementaskan beberapa opera Cina. Dengan adanya kerjasama daripada pelbagai pihak, kami bukan sahaja menyewa lokasi ini, malah, berkongsi ilmu pengetahuan.

“Perkara seperti inilah yang membuatkan kami lebih memahami seni opera itu,” katanya.

Berkongsi mengenai kisah dipaparkan dalam iklan berkenaan, Faisal berkata, cerita berkisar seorang anak yang mahu meneruskan legasi opera Cina, namun, wujud konflik di sebalik usahanya itu.

Lebih membanggakan, penggambaran iklan TV dan komersial itu mendapat kerjasama primadona terkenal opera Cina di Malaysia, iaitu Elizabeth @ Choi Yam Heong, 86, yang bertindak sebagai penasihat solekan dan busana projek itu.

Berasal dari Seremban, Negeri Sembilan, Elizabeth yang lahir dalam keluarga opera Cina, mewarisi seni itu daripada ayahnya.

“Sejak kecil saya sudah berkecimpung dalam opera Cina kerana bapa dan kakak yang lain semuanya terbabit dalam seni pementasan ini.

“Ketika berusia tujuh tahun, saya pernah bersekolah. Namun, selepas setahun, bapa berhentikan persekolahan untuk saya terus aktif dalam opera Cina.

“Sejak itu, saya mula belajar dan terus aktif sampai sekarang. Sayangnya, saya tidak berkahwin dan tiada anak untuk diturunkan ilmu seni ini.

“Bagaimanapun, saya ada ramai anak murid. Setiap kali ada kelapangan, saya mengajar mereka yang berminat dengan seni opera Cina,” katanya dalam bahasa Kantonis.

Elizabeth berkata, pada usia 17 tahun, bapa pernah membawanya ke Hong Kong untuk mempelajari opera Cina dengan seorang guru.

Sehubungan itu, Elizabeth tidak mahu mempersia-siakan ilmu dan tekad menurunkannya kepada sesiapa sahaja. Elizabeth juga bersyukur diberikan kudrat untuk meneruskan kecintaannya terhadap seni opera Cina.

“Saya sangat bertuah kerana masih larat berlakon dan menyanyi. Malah, inilah mata pencarian saya.

“Hendak kata kaya, tidaklah. Namun, cukuplah untuk diri sendiri. Saya pernah mencuba kerja lain seperti jurusolek, namun, tiada keuntungan. Jadi, saya terus berlakon untuk cari makan,” katanya.

Opera Cina dikatakan wujud kira-kira 2,000 tahun lalu. Namun, ada pandangan menyatakan seni ini diperkenalkan sejak 5,000 tahun lalu, iaitu ketika pemerintahan Dinasti Tang yang dikatakan berpusat di Xian, China pada tahun 618 hingga 907.

Ketika pemerintahan Maharaja Xuanzong (712-755) dikatakan wujud sebuah kumpulan kesenian yang dikenali sebagai Opera Pearl Garden. Namun, kumpulan ini hanya membuat persembahan untuk hiburan Maharaja sahaja.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button