Torres bantu Ecuador ikat Brazil

 

Brazil diikat 1-1 oleh Ecuador selepas tandukan Felix Torres ketika permainan berbaki 15 minit mengimbangi jaringan awal Casemiro dalam aksi kelayakan Piala Dunia.

Perlawanan sengit itu turut menyaksikan seorang pemain dari kedua-dua pasukan dilayangkan kad merah dalam 20 minit pertama dan penjaga gol Brazil Alisson dua kali dilayangkan kad merah tetapi dibatalkan selepas pengadil melihat ulang tayang VAR.

Ecuador dinafikan kemenangan apabila satu gol dan dua penalti mereka dibatalkan VAR – termasuk satu ketika masa kecederaan babak kedua – dan terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri selepas Torres menanduk masuk sepakan sudut.

Casemiro meletakkan Brazil di depan seawal minit kelima menerusi rembatan selepas kekalutan di depan pintu gol Ecuador.

Ia diikuti dengan kad merah ke atas penjaga gol Ecuador Alexander Dominguez kerana kekasaran pada minit ke-15 sebelum bek Brazil Emerson Royal dilayangkan kad kuning kedua lima minit kemudian.

Juara dunia lima kali sudah mengesahkan tempat di pusingan akhir di Qatar bersama Argentina.



Ecuador di tempat ketiga dalam saingan kelayakan 10 negara Amerika Selatan pada 24 mata daripada 15 perlawanan, tujuh di depan Colombia dan Peru yang bermain kurang satu perlawanan.

Hanya empat pasukan teratas layak secara automatik ke Piala Dunia manakala pasukan di tempat kelima akan mengharungi playoff dengan pasukan dari konfederasi Asia.

– REUTERS

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button