Shidee terjatuh dari skuter elektrik
Penyanyi popular era 1980-an, Shidee cedera ringan selepas terjatuh dari skuter elektrik yang ditunggangnya, petang semalam.
Isteri Shidee, Siti Fairunnisa Aziz berkata, kemalangan berlaku ketika penyanyi yang popular dengan lagu Semunya Sudah Terlambat itu dalam perjalanan ke surau untuk menunaikan solat Asar.
“Saya dihubungi seseorang memaklumkan abang Shidee kemalangan selepas terjatuh ketika menunggang skuter elektrik dalam perjalanan ke surau.
“Sebaik saya sampai di tempat kejadian, saya lihat abang terbaring.Abang kemudian dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Berkongsi keadaan terkini bekas peserta musim kelapan program realiti Gegar Vaganza (GV8) itu, NIsa berkata, suaminya hanya cedera ringan.
“Setibanya kami di hospital, abang dirawat di unit kecemasan. Tiada kecederaan berat, sebaliknya suami luka kecil dan juga bengkak di bahagian muka akibat terjatuh.
“Selepas menjalani ujian imbasan sinar X dan didapati tiada keretakan di mana-mana bahagian tulang, abang dibenarkan pulang,” katanya.
NIsa turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu suaminya ketika kemalangan berlaku.
“Terima kasih kepada mereka yang menghulur bantuan. Harapan saya, semua pihak dapat mendoakan semoga suami segera sembuh,” katanya.
BHOnline