Penyelia mengaku bersalah muat naik gambar, video lucah
Seorang penyelia mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua tuduhan memuat naik gambar dan video lucah seorang wanitadi aplikasi Google Drive.
Tertuduh, Ahmad Tarmizi Mohd, 28, membuat pengakuan itu selepas dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.
Ahmad Tarmizi didakwa secara sedar menggunakan perkhidmatan aplikasi Google Drive ‘rin mon’ membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang lucah sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Komunikasi itu dilihat pengadu ketika berada di sebuah rumah di Padang Sena di sini jam 12 malam pada 11 Mei 2017.
Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) berdepan hukuman denda dengan tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan jika sabit kesalahan.
Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 28 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk fakta dan hukuman serta membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi Multimedia MalaysiaNazrul Nizam Mohd Zameri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
BHOnline