Ibu tak pujuk Sajat balik, tengok rezeki anak makin bertambah sejak menetap di Australia

Walaupun sudah menetap di Perth, Australia, nama usahawan sensasi Sajat masih lagi terus hangat diperkatakan sehingga kini.

Terbaharu, ibu Sajat, Maimon Omar menjelaskan dia tidak akan sesekali memujuk anaknya itu untuk pulang semula ke tanah air kerana bimbang Sajat atau nama sebenarnya, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman, 37, bakal berdepan tindakan undang-undang sekiranya balik ke Malaysia.

“Tak, memang saya tak pujuk dia balik. Saya tahu risiko dia, saya tak nak pujuk, biar dia buat sendiri hal dia.

“Saya tengok rezeki dia lagi melimpah ruah daripada dia kat Malaysia. Maju betul dia kat sana, saya betul-betul bangga dengan dia,” katanya.



Menurut Maimon lagi, sehingga kini dia masih lagi berhubung dengan Sajat dan sentiasa memberikan restu terhadap anaknya itu.

“Kami kerap berhubung, rasa macam dia ada kat sini saja. Apa-apa pun dia cerita, apa dia nak buat dia beritahu…minta restu dan doa.

“Apa sahaja saya reda. Apa yang jadi dekat rumah dia, orang buat apa pun saya reda. Itu sahaja jalan terbaik. Kita tak nak burukkan sesiapa. Buat sajalah apa yang kau rasa nak buat. Apabila kau buat, Allah akan datangkan rezeki,” katanya.

Untuk rekod, Sajat menetap di Australia sejak Oktober tahun lalu selepas melarikan diri kerana berasa tidak selamat tinggal di Malaysia.



Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam sebelum ini mengeluarkan waran tangkap terhadapnya kerana gagal menghadirkan diri pada sebutan semula kesnya tanpa sebarang sebab.

Dia dikehendaki di Malaysia mengikut Seksyen 186 dan 353 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam serta menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipannya.

Sajat kemudian menghilang dan dikesan melarikan diri ke Thailand, namun pada 8 September lalu, dia ditahan pihak imigresen negara itu kerana memiliki pasport tidak sah.

Ketika ditahan, Sajat mengemukakan kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang dikeluarkan ibu pejabat suruhanjaya itu di Bangkok dan memaklumkan dia akan berhijrah ke Australia.



 

mstar

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button