BN malar segar, faham aspirasi orang muda – Zahid Hamidi
Parti Barisan Nasional (BN) sentiasa bersifat malar segar malah tidak pernah gagal memahami aspirasi golongan muda dan belia.
Menerusi satu hantara di Facebook rasmi milik Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan BN tetap relevan sejak 1973 dan perkara itu penting untuk pengetahuan pengundi muda bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan pada 12 Mac ini.
“Muda bukan tentang usia parti, namun dasar dan agenda yang akan memanfaatkan golongan muda mahupun lama,” katanya yang juga Presiden UMNO.
Bekas Timbalan Perdana Menteri berkata, BN juga adalah gabungan parti yang padu, kukuh, konsisten dan mampan berbanding parti gabungan lain.
Selain itu, tegasnya, kesalasilahan BN sebagai sebuah gabungan parti politik ‘demi rakyat untuk rakyat’ tidak pernah diabaikan dan memancarkan kestabilan sepanjang mentadbir negara.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, berkata BN dibarisi gandingan pimpinan lama dan baharu yang padat dengan pengalaman, pengetahuan, idea serta inspirasi yang segar dan baharu, sekali gus mengangkat kepentingan rakyat setiap kaum, agama, jantina dan peringkat umur.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac ini sebagai hari pengundian dengan penamaan calon pada 26 Februari, manakala pengundian awal pada 8 Mac.
Berita Harian