Lepaskan gaji lumayan demi jaga ibu, ayah

Seorang pemuda sanggup meninggalkan kerjaya bergaji lumayan dalam sektor minyak dan gas demi menjaga ibu bapanya yang tinggal di Kampung Air Belaga, Banggol Judah di sini.

Tengku Rozairi Tengku Abdul Rahman, 27, merupakan salah seorang anak Melayu yang mempunyai sijil Amerika Welding Society (AWS) dan pernah bekerja di Pengerang, Johor sebelum mengambil keputusan pulang ke kampung halaman.

Anak keenam dari lapan beradik itu memberitahu, selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia mula bekerja sementara di bengkel kimpalan besi di Pangkal Meleret, Machang.



Katanya, minat pada bidang berkenaan semakin mendalam mendorongnya mengambil lesen AWS dan berhijrah ke Johor untuk bekerja dalam bidang minyak dan gas.

Namun impian untuk kekal lama dalam bidang berkenaan terpaksa dilepaskan kerana memikirkan keadaan bapanya, Tengku Abdul Rahman Tengku Mahmood, 65, dan ibunya, Rogayah Abas, 58, di kampung memandangkan adik beradik yang lain bekerja di luar Kelantan.

“Saya pulang ke kampung dan dengan duit simpanan yang ada, saya buka bengkel kimpalan di belakang rumah ibu bapa pada awal tahun 2019.

“Namun selepas beberapa bulan bengkel dibuka, perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksana menyebabkan bengkel terpaksa ditutup sementara. Alhamdulilah selepas beralih fasa, kini bengkel saya mula beroperasi seperti biasa,” katanya.



Pemuda yang pernah membaiki besi lebih 40 buah kenderaan kereta pacuan empat roda itu memberitahu, dengan pengalaman yang ada, dia memberanikan diri membuka bengkel berkenaan dengan modal permulaan sebanyak RM25,000.

Sinar Harian

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button