Onn Hafiz bawa enam harapan dan aspirasi untuk DUN Machap

Simpang Renggam: Enam harapan dan aspirasi menjadi pertaruhan calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi, 43, untuk menambat hati masyarakat di kawasan berkenaan agar memberikan sokongan kepadanya.

Menurut beliau, perkara pertama yang akan diberikan perhatian adalah untuk meningkatkan pelaburan di Machap kerana melaluinya secara tidak langsung akan memberikan impak ekonomi kepada penduduk setempat.

Katanya, perkara ini penting kerana selepas negara dilanda penularan wabak Covid 19 kira-kira dua tahun lalu, ramai penduduk di sini yang terjejas sumber pendapatan dan ianya masih terkesan hingga sekarang.



“Turut menjadi perhatian saya adalah menaik taraf gelanggang futsal di Machap ini kerana dengan adanya pusat riadah seperti ini akan membolehkan anak-anak muda melakukan aktiviti kesihatan selain terhindar daripada sebarang gejala tidak bermanfaat.

“Selain itu, Klinik Bergerak ke kawasan perkampungan yang jauh daripada Pekan Simpang Renggam juga akan diusahakan bagi membolehkan masyarakat setempat mendapatkan rawatan kesihatan yang baik untuk mereka,” katanya kepada My-Tv Online.



Menurut beliau, tiga perkara lain yang turut menjadi fokus utamanya adalah menyerikan setiap kampung serta taman perumahan melalui pelbagai perancangan serta program bersama penduduk setempat.

“Saya juga akan berusaha untuk memperbaiki dan menaik taraf Balai Raya agar ia dapat digunakan oleh semua pihak bagi membolehkan penduduk memanfaatkannya dengan pelbagai aktiviti.

“Manakala yang terakhir adalah pemasangan WiFi percuma di setiap masjid di Machap bagi membolehkan semua kariahnya menggunakan kemudahan ini,” katanya. – My-TV Online



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button