Isu lompat parti calon Bersatu DUN Endau dijadikan modal politik parti lawan
Ronald menyampaikan lesen Kelas A kepada nelayan di Mersing. Foto: Bob
Isu lompat parti yang digunakan pihak lawan bagi menyerang calon Perikatan Nasional (PN) dari Bersatu, Alwiyah Talib, tidak mampu dihalang parti itu.
“Waktu kempen ini pihak lawan menggunakan pelbagai isu dan taktik untuk menyerang calon PN.
“Kita tidak boleh halang mereka, tetapi saya yakin pengundi di sini lebih matang dan dapat membezakan calon terbaik,” kata Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu),Datuk Seri Ronald Kiandee.
Beliau menjawab pertanyaan wartawan mengenai serangan ke atas Alwiyah atas tindakannya melompat parti selepas memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau pada Pilihanraya Umum ke-14 yang lalu.
Pada pilihanraya itu, Alwiyah yang menjadi calon Barisan Nasional (BN) mengambil keputusan melompat ke parti Bersatu, beberapa hari selepas BN tewas pada PRU ke-14 itu.
Selain Alwiyah, dua ADUN lain yang melompat parti yang keluar dari UMNO dan menyertai Bersatu ialah Adun Sedili, Rasman Ithnain dan ADUN Johor Lama, Roslehi Johari.
Tindakan Alwiyah itu menyebabkan beliau menjadi sasaran parti lawan terutama BN di sepanjang kempen Pilihanraya Negeri Johor ini.
Sebelum itu, Ronald merasmikan Program Jelajah Dialog Agromakanan Pertanian dan Perikanan 2022 di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Endau, di sini, hari ini.
Ronald yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, serangan itu tidak akan mengekang semangat calon PN.
“Justeru, kita melihat semua kerusi bertanding ini sebagai satu misi untuk memastikan kemenangan termasuk di DUN Endau yang ditandingi penyandang Alwiyah Talib,” katanya.