Penyokong setia BN hias kereta sempena PRN Johor

JOHOR BAHRU: “Sejak berusia muda hinggalah bergelar warga emas, saya mencintai Barisan Nasional (BN),” kata seorang ahli perniagaan, M Kandapan, 62.

Beliau berkata, malah demi menunjukkan sokongan terhadap BN, dia juga sanggup menghiasi kereta Proton X70 dengan pelekat beberapa imej calon Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, ia bukan saja menjadi tanda dia setia bersama BN malah menunjukkan sokongan penuh terhadap calon parti gabungan itu.



“Saya tinggal di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang dan sehingga kini pelbagai pembangunan dilaksanakan di sini hingga ia membantu masyarakat tempatan menaik taraf kehidupan.

“Tanpa kepimpinan yang cekap, kita tak dapat kecapi apa yang terlaksana hari ini dan nasib penduduk kurang bernasib baik juga sentiasa dibela BN.

“Saya syukur kerana menjadi warganegara Malaysia dan anak Johor, sehingga akhir hayat saya akan menyokong BN,” katanya.



Kandapan berkata, tiada insan yang mampu melupakan jasa BN yang bermula dengan Tunku Abdul Rahman kerana menekankan kepada perpaduan.

Menurutnya, meneliti sejarah terdahulu usaha beliau untuk mendapatkan kemerdekaan negara turut disokong oleh beberapa pemimpin lain seperti Tun VT Sambanthan dan Tun Tan Cheng Lock.

“Tunku Abdul Rahman yang ketika itu presiden UMNO mewujudkan kerjasama dengan MCA dan MIC kerana percaya hanya melalui perpaduan kaum kemerdekaan negara dapat dicapai.

“Gabungan itu kemudiannya menjadi sebuah badan dominan yang memperjuangkan kemerdekaan sehingga negara memperolehi kebebasan mutlak pada 31 Ogos 1957.



“Parti Perikatan ini kemudian bertukar kepada Barisan Nasional (BN) yang merupakan sebuah gabungan parti politik yang menjalankan pemerintahan demokrasi dan tiada mana-mana parti yang mampu mentadbir negara ini setanding BN,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button