San San Cabar Cai Tung untuk berdebat dalam Bahasa Melayu
JOHOR BAHRU: Calon Barisan Nasional (BN) kerusi DUN Johor Jaya, Chan San San mencabar pesaingnya di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Liow Cai Tung (DAP) untuk berdebat dalam Bahasa Melayu esok.
Chan San San berkata, ia membuktikan kebolehannya berbahasa Melayu berikutan kritikan dan fitnah DAP.
Menurutnya, Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong sebelum ini membuat dakwaan tidak berasas apabila menuduh calon-calon MCA tidak boleh berkomunikasi dalam Bahasa Kebangsaan, iaitu Bahasa Melayu tanpa menggunakan skrip.
“Chin Tong dilihat sengaja mengenepikan fakta dan membuat tuduhan melulu sebagai taktik kotor untuk memburuk-burukkan pihak pesaing.
“Bagi pengetahuannya, calon BN-MCA dipilih menerusi proses pemilihan yang teliti serta memenuhi kelayakan untuk bertanding.
“Liew Chin Tong tidak tahu-menahu berkaitan proses kelayakan calon MCA, tetapi membuat dakwaan yang tidak berasas mengenai pihak lawan.
” Tindakan Chin Tong sama seperti “cybertrooper jahat” dan menjatuhkan kredibiliti beliau sebagai Pengerusi DAP Johor,” katanya
San San berkata, justeru, dia mencabar calon DAP bagi DUN Johor Jaya, Liow Cai Tung untuk berdebat dalam Bahasa Melayu.
Beliau berkata, dia bersetuju bahawa pemimpin yang fasih bertutur dalam Bahasa Melayu boleh membawa suara pengundi ke Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan lebih baik, berkhidmat dan berjuang untuk mereka serta membawa pembangunan yang lebih baik untuk kawasan itu.
“Saya berharap Liow Cai Tung berani menyahut cabaran untuk berdebat supaya pengundi dapat menyaksikan tahap keupayaan calon DAP bertutur dalam Bahasa Melayu.
“Memandangkan Liew Chin Tong mengatakan bahawa calon DAP lebih fasih bertutur dalam Bahasa Melayu, maka tiada lagi alasan Liow Cai Tung untuk menolak cabaran debat ini.
“Jika tidak, ia akan membuktikan bahawa Liew Chin Tong hanya bercakap kosong sahaja,” katanya.
Chan San San menjemput Liow Cai Tung untuk menghadiri debat yang akan diadakan di Pejabat MCA Bahagian Pasir Gudang dan topik perdebatan akan dimuktamadkan menerusi penyelarasan di antara wakil kedua-dua pihak.
Parti itu turut menyiarkan poster promosi mengumumkan perbahasan antara Chan dan Liow di ibu pejabat MCA Pasir Gudang esok (Khamis, 10 Mac).
Sementara itu, Cai Tung berkata, dia tidak ingin memfokuskan aktiviti membuang masa memandangkan beliau masih giat berkempen demi mempertahankan kerusi ya.
Menurutnya, sebelum ini kepimpinan MCA mahu mengadakan perdebatan dengan DAP berkaitan isu pendidikan namun akhirnya mereka membatalkan dengan alasan tidak menerima kelulusan polis.
“Kini mengapa mereka mencabar saya pula.
“Tambahan pula tiada topik perdebatan yang dinyatakan,” katanya.