‘Benda boleh tolak, tapi dia pilih sedap’ – Awie ulas babak panas Zul Ariffin
Kontroversi melibatkan babak panas yang dilakonkan Zul Ariffin bersama pelakon baharu, Siti Hariesa masih terus hangat diperkatakan sehingga kini.
Terbaharu, Datuk Awie tampil memberikan pandangannya berhubung perkara tersebut di mana sebagai seorang pelakon, Zul mempunyai hak untuk menolak melakonkan aksi daring yang pastinya bertentangan dengan adat orang timur.
“Itu dia (Zul Ariffin) gatal sebenarnya. Benda boleh ditolak, tapi dia memilih sedap. Dia terimalah benda itu (hukuman).
“Pada saya, dia sudah menconteng arang kepada industri yang berkonsepkan Islam, khususnya di Malaysia kerana industri kita masih lagi tidak ada sifat keterbukaan dalam sudut sebegitu.
“Benda itu (babak ranjang) tak wajar, kalau nak buat, buatlah di Singapura ke, Indonesia ke, Filipina ke lainlah… benda boleh tolak tapi dia memilih sedap, jadi dia kena terimalah benda (hukuman) itu,” katanya memetik Harian Metro.
Selain Awie, isu panas itu turut diulas ramai pihak termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, pendakwah bebas, Dr. Ridhuan Tee serta pengarah, Along Kamaludin.
Zul atau nama sebenarnya, Zulkifli Ariffin, 36, memuat naik video babak dalam drama terbaharu lakonannya, Perempuan Itu yang dijangka ditayangkan pada Ramadan ini.
Babak itu dikatakan tidak akan dimasukkan dalam drama tersebut sebaliknya hanya dirakam bagi tujuan publisiti dan promosi naskhah berkenaan.
Zul bagaimanapun telah memohon maaf secara terbuka di Instagram dan berkata selepas ini dia akan lebih berhati-hati dalam memuat naik sebarang bahan promosi yang diberikan kepadanya. – my-tv online.