Hael Husaini nafi buat pembedahan plastik

Penyanyi popular, Hael Husaini, 34, menafikan dakwaan segelintir pihak mengatakan dia ada menjalani pembedahan plastik untuk tampil lebih segak.

Hael berkata, dia tidak tahu bagaimana gosip itu boleh tercetus, namun mengakui ada terdengar tuduhan tidak berasas berkenaan.

“Saya tak tahu nak cakap macam mana. Reaksi saya hanya mampu tersenyum saja. Apa yang boleh saya katakan, makin kita meningkat usia semakin kita pandai jaga diri.



“Waktu muda dulu mungkin saya tidak memikirkan soal penampilan sangat, tapi bila dah makin tua dengan sendirinya kita semakin ambil tahu dan lebih disiplin,” katanya.

Menurut Hael, dia mengaku bertuah kerana memiliki syarikat pengurusan yang amat menitikberatkan soal penampilan selain aspek nyanyian.

“Saya akui dulu tak ada pasukan di belakang. Semua buat sendiri. Sekarang kerja-kerja saya diuruskan oleh pasukan yang profesional.

“Kalau dulu, umpamanya saya sikat rambut dan pakai gel rambut sendiri saja, sekarang dah ada pasukan yang siapkan. Ya, memang boleh dikatakan adalah perubahan itu dari semasa ke semasa untuk saya tampil menarik di depan kamera,” katanya.



Hael berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Cahaya Festira Festival Ramadan Selangor 2022 yang diadakan di SACC Mall, di sini, hari ini.

Festival anjuran PKNS Real Estate (PREC) itu adalah acara tahunan yang direka khusus bagi menyokong agenda kerajaan negeri dalam usaha membantu usahawan kecil sederhana dan pengusaha tempatan. Festival terbesar Ramadan itu juga mensasarkan 3.5 juta pembeli sebelum era pandemik.

Harian Metro



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button