Pembangkang mungkir janji, langgar komitmen MoU – Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mendakwa pembangkang memungkiri janji, melanggar persetujuan dan mengabaikan sama sekali komitmen mereka untuk bekerjasama dengan kerajaan, seperti dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik.

Ahmad Zahid berkata, tindakan pembangkang menolak usul oleh kerajaan bagi melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk tempoh lima tahun lagi, yang menyebabkan usul itu gagal diluluskan di Dewan Rakyat adalah sesuatu yang mengejutkan dan menunjukkan pembangkang sebenarnya tidak berminat untuk mewujudkan kestabilan politik.

Beliau berkata, Perkara 3 di bawah MoU antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) pada September tahun lalu itu, jelas menegaskan pembangkang perlu bersetuju atau berkecuali, dalam apa-apa usul yang dibawa kerajaan, sebagai antara langkah untuk mewujudkan kestabilan politik dalam pentadbiran semasa.



“PH sebenarnya sangat cenderung untuk melupakan janji dan komitmen mereka dengan mudah. Pada pandangan saya, tidak ada gunanya untuk kita terus berpegang pada janji mereka.

“Kerajaan mesti mempunyai majoriti tersendiri, yang kuat dan tidak mengharapkan ihsan serta budi bicara pembangkang.

“Kerajaan seperti dalam kedudukan sekarang tidak akan dihormati, (tidak) stabil dan (tidak) berupaya untuk mengemuka dan menjayakan dasar yang baik dengan lancar,” katanya melalui Facebook, hari ini.

Beliau berkata, apa yang berlaku di Dewan Rakyat itu adalah bukti jelas kerajaan sedia ada sudah tidak dihormati dan MoU antara kerajaan dan pembangkang juga nampaknya sudah tidak lebih daripada sekadar janji di atas kertas.



Dewan Rakyat semalam gagal meluluskan usul melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) SOSMA 2012 untuk tempoh lima tahun lagi.

Usul itu ditolak selepas keputusan undian belah bahagian menunjukkan hanya 84 Ahli Parlimen menyokong, manakala 86 Ahli Parlimen tidak menyokong, selain 50 Ahli Parlimen tidak hadir.

Kegagalan usul itu menyebabkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak dapat melanjutkan kuat kuasa Subseksyen 4(5) bermula 31 Julai depan.

Ahmad Zahid berkata, kegagalan mendapatkan kelulusan bagi usul itu menguatkan lagi semangat dan kepercayaan beliau yang UMNO harus bangkit kembali sebagai kuasa politik yang kuat, besar dan terhormat.



Katanya, insiden itu adalah sesuatu yang memalukan kerajaan dan menuntut untuk parti itu mengukuhkan diri dengan cara yang strategik dan segera.

“Kita mesti berupaya membawa dasar dan usul yang baik tanpa perlu mengharapkan sokongan pihak lawan yang suka menangguk di air keruh. Ketetapan dan pendirian kita semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) tempoh hari adalah sesuatu yang rasional dan berasas.

“Saya harap, masyarakat di luar sana dapat melihat betapa rapuh dan berisikonya bentuk kerajaan yang ada, malah ia adalah pengajaran yang besar kepada parti politik seperti UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Kita mesti berupaya membawa dasar dan usul yang baik tanpa perlu mengharapkan sokongan pihak lawan yang suka menangguk di air keruh,” katanya.



Berita Harian

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button