21 GRO warga asing antara ditahan
Seramai 21 wanita warga asing dipercayai bekerja sebagai wanita pelayan pelanggan (GRO) ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Imbi, di sini, malam tadi.
Mereka membabitkan 19 warga Thailand dan dua Vietnam berusia antara 23 hingga 37 tahun, ditahan bersama empat lagi individu yang bekerja sebagai pengurus, juruwang serta penjaga premis dalam serbuan kira-kira jam 10 malam itu.
Berdasarkan maklumat, premis pusat hiburan terbabit menawarkan khidmat wanita warga asing sebagai GRO dengan bayaran sehingga RM1,000.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, semua yang ditahan antara 100 individu yang diperiksa kerana berada dalam pusat hiburan terbabit ketika serbuan dilakukan.
Semakan dilakukan, katanya mendapati tiga wanita warga Vietnam yang ditahan adalah pemegang pas lawatan sosial dan berkahwin dengan individu tempatan, dengan pas mereka masih sah sehingga tahun depan.
“Bagaimanapun, risikan dilakukan mendapati mereka bekerja di pusat hiburan ini sebagai GRO.
“Justeru, pihak kami menahan 25 individu termasuklah 21 wanita warga asing yang dipercayai bekerja sebagai GRO untuk tindakan lanjut,” katanya ketika sidang media selepas serbuan.
Mengulas operasi premis itu, beliau berkata, maklumat risikan mengesahkan wanita GRO warga asing terbabit akan dipamerkan di atas pentas sebelum pelanggan membuat pilihan, di mana pelanggan yang mahu wanita terbabit melayani mereka di tempat duduk perlu memakaikannya selempang dengan tanda harga antara RM100 hingga RM1,000.
“Pelanggan dibenarkan membawa pulang GRO untuk satu malam jika memakaikan GRO selempang berharga RM1,000,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, ada antara wanita warga Thailand yang ditahan mempunyai pasport yang tidak memiliki cop masuk ke dalam negara.
“Kita sedang menyiasat sama ada mereka masuk ke negara ini melalui lorong tikus. Namun, sebahagian besar mereka yang ditahan didapati masuk ke negara ini sebelum pandemik dan memberi alasan tidak dapat pulang ke negara asal,” katanya.
Khairul Dzaimee berkata, siasatan awal mendapati pusat hiburan itu beroperasi secara sembunyi memandangkan aktiviti hiburan tidak dibenarkan sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Semua warga asing yang ditahan kini disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 untuk tindakan lanjut.
BHOnline