Fattah Amin elak bersentuhan
Kuala Lumpur: Status sebagai suami dan bapa membuatkan Fattah Amin lebih berhati-hati sebelum menerima sebarang tawaran berlakon terutama apabila membabitkan adegan bersentuhan.
Fattah berkata, dia menyuarakan keselesaan dan berbincang terlebih dulu dengan pengarah sebelum menjalani penggambaran bagi memastikan semuanya berjalan lancar.
“Rasanya semua sedia maklum, saya sendiri kurang selesa sekiranya membawakan adegan bersentuhan. Sebelum berumah tangga lagi, saya sendiri kurang selesa bersentuhan.
“Sekiranya boleh elak, lebih baik saya cuba untuk tidak bersentuhan. Jika perlu, lazimnya babak berpegangan tangan itu berlapik,” katanya.
Berkongsi mengenai perkembangan kerjaya, Fattah berkata, terbaru dia membawa watak jahat menerusi drama Khilaf Asmara yang akan ditayangkan bulan depan.
Menurut Fattah, sudah sampai masa untuk dia mencuba watak yang baharu supaya penonton tidak bosan selain ingin keluar dari watak stereotaip.
“Buat pertama kalinya, saya membawakan watak jahat dalam. Saya tidak mahu dicop sering membawakan watak yang sama saja. Oleh itu, saya keluar dari kepompong selesa dan mencabar diri melakonkan sesuatu yang berbeza,” katanya.
Harian Metro